BERITA TERKINI   Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan kurnia bantuan RM2,000 kepada 39 keluarga mangsa kebakaran di Kampung Teluk Jawa | Kedudukan PKR berada pada tahap terbaik, terus bina kekuatan parti - Anwar | PDRM rampas dadah bernilai RM69.65 juta dalam Op Bayu 2 di Sabah - KPN | Polis tumpas sindiket dadah antarabangsa libat sitaan RM174 juta dalam Op Coleoptera di Sabah - Ketua Polis Negara | Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin dipecat dari parti itu, berkuat kuasa hari ini - Setiausaha Agung Bersatu | 

BNMLINK Terima 222 Aduan MHIT, 96 Peratus Diselesaikan - Kementerian Kewangan

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Sebanyak 222 aduan mengenai produk Insurans Perubatan dan Kesihatan (MHIT) daripada orang awam telah diterima oleh BNMLINK.

Kementerian Kewangan (MoF) berkata daripada jumlah aduan direkodkan, 96 peratus atau pun 213 aduan telah diselesaikan oleh pihak syarikat insurans dan pengendali takaful (ITO).

“Kerajaan bersama pihak industri perubatan, hospital, ITO dan BNM telah mengaktifkan semula Jawatankuasa Mekanisme Aduan Kesihatan, berfungsi sebagai platform untuk menangani isu amalan operasi dan perniagaan,” kata MoF menerusi jawapan bertulis dikeluarkan dalam laman sesawang rasmi Parlimen hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

BNMLINK adalah Pusat Perhubungan Sehenti Bank Negara Malaysia (BNM) berperanan menyalurkan sumber maklumat kewangan dan saluran penyelesaian kepada pengguna untuk membuat aduan terhadap para penyedia perkhidmatan kewangan (PPK).

MoF berkata demikian sebagai menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) yang ingin tahu langkah menyelesaikan masalah pertikaian antara hospital swasta dan Operator Insuran (OI) serta mengenai bayaran rawatan yang mana pihak hospital swasta mengadu terdapat OI mencampuri urusan rawatan untuk mengurangkan kos sehingga menjejaskan rawatan yang diperlukan oleh pesakit.

Dalam pada itu, MoF menegaskan bahawa pihak ITO dan pentadbir pihak ketiga tidak mempunyai kuasa untuk menentukan penjagaan pesakit yang kekal sebagai tanggungjawab eksklusif para doktor, jika rawatan disyorkan tidak dilindungi di bawah polisi insurans, bayaran boleh diselesaikan secara langsung oleh pesakit, sama seperti polisi yang mempunyai bayaran deduktibel, dibayar sendiri oleh pesakit.

Ad Banner
Ad Banner

-- BERNAMA