BERITA TERKINI   Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan kurnia bantuan RM2,000 kepada 39 keluarga mangsa kebakaran di Kampung Teluk Jawa | Kedudukan PKR berada pada tahap terbaik, terus bina kekuatan parti - Anwar | PDRM rampas dadah bernilai RM69.65 juta dalam Op Bayu 2 di Sabah - KPN | Polis tumpas sindiket dadah antarabangsa libat sitaan RM174 juta dalam Op Coleoptera di Sabah - Ketua Polis Negara | Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin dipecat dari parti itu, berkuat kuasa hari ini - Setiausaha Agung Bersatu | 

Produk Baharu Bursa Malaysia Akan Jadikan Dagangan Niaga Hadapan Lebih Mudah Diakses

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Produk niaga hadapan baharu Bursa Malaysia Bhd, Mini FTSE Bursa Malaysia KLCI Futures (FKLM) akan membantu meluaskan akses pelabur dan menyediakan kos yang lebih berpatutan ke dalam pasaran derivatif Malaysia.

Bursa Malaysia berkata produk itu akan dilancarkan pada 26 Januari, 2026, merupakan versi bersaiz lebih kecil daripada FTSE Bursa Malaysia KLCI Futures (FKLI), menjejaki FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI), indeks penanda aras utama negara yang terdiri daripada 30 syarikat tersenarai Bursa Malaysia terbesar mengikut permodalan pasaran.

“Setiap kontrak FKLM bernilai RM10 setiap mata indeks berbanding RM50 setiap mata indeks untuk FKLI, menjadikan FKLM satu perlima saiz kontrak FKLI standard.

Ad Banner
Ad Banner

“Saiz kontrak yang lebih kecil ini mengurangkan keperluan modal pendahuluan, menjadikan niaga hadapan indeks lebih mudah diakses oleh pelabur runcit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bursa Malaysia berkata bahawa dengan FKLM, pelabur boleh mendapat pendedahan leveraj kepada FBM KLCI, menyediakan cara alternatif untuk menyertai pasaran yang meningkat dan juga menurun, pada masa sama menggunakan modal dengan lebih cekap.

“Saiz kontrak yang lebih kecil juga membolehkan lebih banyak fleksibiliti dalam mengubah suai kedudukan dan boleh digunakan sebagai alat lindung nilai, membantu pelabur mengurus turun naik pasaran jangka pendek tanpa mencairkan pegangan jangka panjang mereka,” katanya.

Ad Banner
Ad Banner

Sama seperti FKLI, FKLM akan tersedia untuk diniagakan semasa sesi dagangan pagi dan petang (8.45 pagi hingga 5.15 petang waktu Malaysia, Isnin hingga Jumaat) dan sesi dagangan selepas waktu bekerja (T+1) (9.00 malam hingga 2.30 pagi waktu Malaysia, Isnin hingga Khamis).

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Fad’l Mohamed berkata pelancaran FKLM menandakan satu lagi langkah ke hadapan dalam memperluas akses kepada perdagangan derivatif, menjadikan penyertaan lebih inklusif untuk pelabur berpengalaman dan orang awam yang lebih luas.

“Dengan meluaskan akses pasaran, kami memperkukuh kecairan dan menyokong pertumbuhan pasaran modal Malaysia yang mampan,” katanya.

-- BERNAMA