BERITA TERKINI   Sekolah seluruh negara diberi cuti tambahan satu hari pada 18 Mac sempena Aidilfitri - KPM | 
Ad Banner

Gobind Terharu Tersenarai Dalam “2026 Tech Diplomacy Global 50”

KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Menteri Digital Gobind Singh Deo terharu apabila tersenarai dalam “2026 Tech Diplomacy Global 50”, dan menyifatkan pengiktirafan itu mencerminkan perjalanan transformasi digital ketika Malaysia bergerak ke arah negara kecerdasan buatan (AI) menjelang 2030.

Beliau berkata pengiktirafan itu bukan buat dirinya semata-mata, sebaliknya untuk Kementerian Digital dan Malaysia, sekali gus menunjukkan dunia memberikan perhatian terhadap usaha digital negara, dasar serta inisiatif bagi membangunkan persekitaran digital yang dipercayai dan selamat.

“Pasukan saya di Kementerian Digital dan agensinya telah menerajui agenda pendigitalan nasional sejak kementerian ini ditubuhkan pada 2023.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Pengiktirafan itu menambahkan lagi semangat kami, dan ia akan terus menyuntik keazaman untuk mempercepat matlamat menjadikan Malaysia hab digital di Asia Tenggara,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook, hari ini.

Gobind turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pendekatan serta iltizam memastikan landskap digital negara terus berkembang, termasuk melalui pindaan dan pelulusan undang-undang berkaitan teknologi digital serta penubuhan Pejabat AI Kebangsaan (NAIO).

Menyedari hakikat bahawa teknologi terus berkembang pesat, beliau berkata masih banyak usaha yang perlu dilaksanakan, namun yakin Malaysia berada di landasan yang tepat.

Ad Banner
Ad Banner

“Saya yakin usaha kami akan membolehkan ekonomi digital menyumbang 30 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030. Kita juga akan menyaksikan lebih ramai rakyat  serta perniagaan di Malaysia berkembang dan makmur dalam era AI,” katanya.

-- BERNAMA