BERITA TERKINI   Isu saham Azam Baki : Jemaah Menteri terima hasil laporan siasatan Peguam Negara hari ini, tindakan lanjut diambil KSN - Fahmi | Isu 3R : Tindakan tegas perlu segera diambil, kaji pindaan undang-undang jika perlu - Fahmi | Harga subsidi RON95 kekal pada paras RM1.99 seliter - PM Anwar | Kabinet putuskan semua agensi kerajaan, GLC dan GLIC tidak menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri tahun ini - PM Anwar | Mesyuarat Khas Kabinet Jumaat ini bincang impak konflik Asia Barat kepada Malaysia - PM Anwar | 
Ad Banner

Untung Bersih F&N Susut RM112.9 Juta bagi Suku Pertama Tahun Kewangan 2026

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Keuntungan bersih Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Dis 2025 menurun kepada RM112.19 juta daripada RM169.02 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Perolehan bagi suku berkenaan turut susut kepada RM1.30 bilion daripada RM1.39 bilion sebelum ini.

“Keuntungan bersih kumpulan untuk tempoh itu menurun sebanyak 34.1 peratus kepada RM112.3 juta berbanding RM170.4 juta sebelum ini, disebabkan oleh keuntungan operasi yang lebih rendah, pendapatan kewangan yang berkurangan dan kadar cukai efektif yang lebih tinggi, dipacu oleh cukai pegangan yang lebih tinggi dan ketiadaan pengiktirafan aset cukai tertunda berhubung kerugian ladang tenusu,” menurut makluman F&N kepada Bursa Malaysia hari ini.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Bagi perolehan yang lebih rendah pada suku tersebut, F&N memaklumkan keputusan itu mencerminkan prestasi bercampur daripada F&B Malaysia dan F&B Indochina.

“Walaupun beberapa aktiviti saluran jualan berpindah ke suku kedua tahun kewangan 2026 disebabkan tempoh membeli-belah Tahun Baharu Cina yang lebih lewat tahun ini, F&B Malaysia mencatatkan pertumbuhan hasil 5.6 peratus, yang sebahagiannya mengimbangi penurunan 20.9 peratus F&B Indochina akibat keadaan pasaran yang lemah dan penutupan sempadan yang berpanjangan.

“Sebagai hasilnya, perolehan kumpulan menurun 6.2 peratus tahun ke tahun,” menurutnya.

Ad Banner
Ad Banner

Mengenai F&B Malaysia, F&N memaklumkan unit itu mencatat pertumbuhan perolehan 5.6 peratus tahun ke tahun bagi suku pertama 2026, disokong oleh peningkatan menyeluruh merentasi segmen utama.

F&N memaklumkan bahawa hasil eksport mencatat pertumbuhan dua digit, dipacu oleh momentum berterusan di pasaran utama, terutamanya di Afrika.

Bagi prospek, F&N menjangkakan keadaan di F&B Indochina akan stabil seiring pemulihan aktiviti ekonomi dan saluran perdagangan di Thailand yang kembali menyusun semula stok.

“Fasiliti pengeluaran tenusu baharu di Kemboja, yang dijangka beroperasi menjelang akhir Mac 2026, akan membantu mengekalkan kesinambungan bekalan dan, bersama eksport dari Malaysia, menyokong peningkatan jualan di Kemboja,” menurutnya.

Sumbangan F&B Malaysia terhadap prestasi kumpulan dijangka kekal stabil dan membantu mengimbangi kelembapan F&B Indochina apabila keadaan di sana semakin bertambah baik.

Suku kedua dijangka mendapat manfaat daripada kitaran jualan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya yang bertindih, selain inisiatif pembinaan jenama yang berterusan serta pengedaran lebih meluas produk susu segar Magnolia.

-- BERNAMA