BERITA TERKINI   ACLE: Sanfrecce Hiroshima 1-0 JDT. JDT mara ke suku akhir secara agregat 3-2 | Penerima bantuan tunai BUDI Diesel dinaikkan kepada RM300 sebulan bagi tempoh interim - Kementerian Kewangan | Kerajaan MADANI kekalkan harga RON95 di bawah inisiatif BUDI95 pada RM1.99 seliter walaupun harga pam petrol RON95, diesel meningkat - Kementerian Kewangan | Isu saham Azam Baki : Jemaah Menteri terima hasil laporan siasatan Peguam Negara hari ini, tindakan lanjut diambil KSN - Fahmi | Isu 3R : Tindakan tegas perlu segera diambil, kaji pindaan undang-undang jika perlu - Fahmi | 
Ad Banner

Lawatan Modi Ke Malaysia Dijangka Kukuhkan Lagi Hubungan Dua Hala

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Lawatan Perdana Menteri India Narendra Modi ke Malaysia esok dijangka mengukuhkan lagi hubungan Malaysia-India berikutan hubungan dua hala yang dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) pada 2024 terutama dalam perdagangan dan kerjasama ekonomi merentas pelbagai sektor, kata penganalisis.

Langkah naik taraf itu diumumkan semasa lawatan sulung Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke New Delhi sekali gus meletakkan India antara enam rakan CSP Malaysia yang turut merangkumi Australia, China,  Amerika Syarikat, Jepun dan Vietnam.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Penganalisis Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia Dr Yanitha Meena Louis berkata perbincangan ekonomi dijangka dijangka tertumpu kepada pelaksanaan CSP dengan meningkatkan aliran perdagangan, kerjasama pelaburan dan kesalinghubungan bagi memudahkan libat urus perniagaan yang lebih meluas.

Menurutnya usaha ini dijangka memberi kesan limpahan positif kepada rantau Asia Tenggara yang lebih luas.

“Lawatan terakhir Modi ke Putrajaya adalah pada 2018 sebelum berlakunya ketegangan diplomatik pada 2019 yang tidak lama berlarutan, dan lawatan yang seterusnya ini menandakan hasrat untuk memulihkan semula hubungan.

Ad Banner
Ad Banner

 “Hubungan dua hala pada masa ini berada pada hala tuju yang jelas ke arah kemajuan yang berterusan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata lawatan itu merupakan lawatan luar negara yang pertama Modi pada 2026, yang menunjukkan penekanan yang diberikan oleh New Delhi terhadap hubungannya dengan Putrajaya, terutamanya disebabkan India tidak hadir pada Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur tahun lepas akibat keadaan yang tidak dijangka.

Penolong Profesor Ekonomi Perniagaan Universiti of Nottingham Malaysia Dr Tan Chee Meng berkata penglibatan India yang semakin meningkat dengan Asia Tenggara termasuk Malaysia, boleh memainkan peranan positif dalam mengukuhkan hubungan perdagangan serta mewujudkan keseimbangan yang lebih baik dalam landskap ekonomi serantau.

Beliau berkata pada masa ini India adalah rakan dagang keenam terbesar ASEAN dan jumlah perdagangan boleh ditingkatkan lagi melalui kerjasama komersial yang lebih kukuh, peningkatan pelaburan dan hubungan sektor swasta yang lebih mendalam.

"Ini pastinya akan membawa banyak pelaburan yang dinantikan dan mewujudkan keseimbangan yang diperlukan untuk mengatasi pengaruh kemasukan China dan Amerika ke rantau ini memandangkan negara ASEAN yang cenderung untuk tidak memihak kepada mana-mana kuasa besar," katanya.

Nilai perdagangan dua hala tahunan antara Malaysia dan India adalah sekitar US$20 bilion, dengan peningkatan yang ketara dalam perjalanan dua hala.

Yanitha pula turut mengulangi pendirian bahawa terdapat peluang untuk kedua-dua negara meluaskan kerjasama dalam bidang yang sejajar dengan komitmen India untuk memainkan peranan yang lebih aktif sebagai "responden pertama" di rantau ini di samping meningkatkan aspirasi bersama untuk memperkukuh kesalinghubungan dan kerjasama ekonomi di seluruh Selatan Global.

-- BERNAMA