BERITA TERKINI   Bank Rakyat umum bayar dividen 18 peratus berjumlah RM534.7 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2025 | Golden Destinations yang baru disenaraikan di Pasaran ACE, dibuka pada 49 sen iaitu premium empat sen daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) dengan 15 juta saham diniagakan  | 
Ad Banner

Pasaran Getah Dijangka Suram Minggu Depan Berikutan Permintaan Lemah Dari China

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Pasaran getah dijangka suram minggu hadapan, dengan harga komoditi itu bergerak mendatar dengan kecenderungan menurun berikutan permintaan lemah dari China menjelang cuti sempena Tahun Baharu Cina.

Pakar industri, Denis Low berkata pengeluaran juga rendah susulan musim daun pokok getah luruh sedang berlaku dan kemungkinan berakhir pada pertengahan Mac.

Ad Banner

Beliau berkata cuaca panas turut menyebabkan pengeluaran menjadi jauh lebih rendah, yang agak luar biasa.

“Peserta pasaran perlu bijak untuk mengambil kira perubahan iklim sebagai fenomena yang tidak dapat dijangka, yang boleh menyebabkan kekurangan pengeluaran dan mungkin mendorong harga untuk meningkat,” katanya kepada Bernama.

Low juga berkata permintaan getah akan hambar kerana China mempunyai cuti yang panjang sempena Tahun Baharu Cina bermula minggu hadapan, manakala turun naik pasaran serta ketidaktentuan situasi di Timur Tengah akan menambah tekanan terhadap pasaran.

Ad Banner
Ad Banner

“Pelabur perlu menghadapi dan mengurus ketidaktentuan cuaca dan (kemungkinan) perang dalam beberapa minggu akan datang.

“Oleh itu, adalah wajar untuk pengedar dan pengguna menyimpan sebahagian stok, dan ini mungkin dapat menyeimbangkan turun naik penawaran dan permintaan buat sementara waktu,” katanya.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, harga rujukan bagi getah fizikal mengikut Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) turun empat sen kepada 760.5 sen setiap kilogram manakala lateks pukal naik satu sen kepada 578.50 sen setiap kilogram.

-- BERNAMA