BERITA TERKINI   AirBorneo rancang lancarkan penerbangan permulaan dari Kuching ke Singapura, Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu pada Julai - CEO Megat Ardian | Tambang penerbangan AirBorneo buat masa iniĀ tidak berubah walaupun harga bahan api global meningkat - CEO Megat Ardian | AirBorneo rancang lancarĀ operasi jet serantau dari Kuching menggunakan tiga pesawat Boeing 737-800 pada Julai - CEO Megat Ardian | 
Ad Banner

Marrybrown Perluas Pengembangan Global Melalui Kerjasama Francais Di Mesir

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Marrybrown memeterai perjanjian francais dengan anak syarikat Talaat Moustafa Group (TMG),Talaat Moustafa Retail (TMR) yang menandakan pengembangan globalnya ke Mesir sekali gus merupakan pencapaian penting yang diraih jenama restoran halal perkhidmatan pantas itu.

Marrybrown berkata perjanjian itu mewujudkan kerangka bagi kerjasama jangka panjang, dengan menggabungkan kekuatan jenama global dan kepakaran francais Marrybrown melalui pengetahuan dan pengalaman pasaran tempatan TMG dalam projek hospitaliti dan komersial.

“Kemasukan Marrybrown ke Mesir menekankan fokus berterusan jenama ini untuk berkembang di seluruh Timur Tengah dan Afrika sekali gus meletakkan Mesir sebagai tonggak utama dalam strategi pertumbuhan globalnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Ketua Pegawai Eksekutif Marrybrown Daniel Chan berkata Mesir memaparkan detik penting dalam pertumbuhan antarabangsa syarikat, dan kerjasama dengan TMG ini menggabungkan dua organisasi yang berkongsi matlamat dari segi skala, kualiti dan penciptaan nilai jangka panjang.

“Marrybrown berbangga dapat bekerjasama dengan rakan kongsi dari Mesir yang telah lama bertapak dan berjaya. Kepakaran TMG yang tinggi mengenai pasaran tempatan serta keupayaan mereka yang terbukti dalam pelaksanaan menjadikan TMG rakan kongsi ideal kami untuk mengembangkan jenama Marrybrown di seluruh Mesir dan rantau yang lebih luas.

“Kerjasama ini membolehkan kami meningkatkan skala secara bertanggungjawab sambil mendukung piawaian kualiti, perkhidmatan, kebersihan dan nilai kami serta memberikan pengalaman yang konsisten dan berkualiti tinggi kepada pelanggan,” katanya.

Ad Banner
Ad Banner

Pada masa ini Marrybrown menguruskan lebih 500 cawangan melibatkan 16 negara, dengan kehadiran yang kukuh di negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Afrika, Asia Timur, Oceania dan beberapa bahagian Eropah.

Kemasukan syarikat itu ke pasaran Mesir menjadikan Marrybrown sebagai jenama makanan segera halal pertama dari Malaysia yang beroperasi di negara itu sekali gus mencerminkan peluang besar serta keyakinan rentas sempadan yang semakin meningkat terhadap landskap pengguna Mesir.

“Kerjasama itu juga mewujudkan aspirasi serantau Marrybrown yang lebih luas untuk berkembang di seluruh Afrika dan GCC di samping meneroka peluang di Asia Tengah dan pasaran terpilih di Eropah.

"Di Mesir, perancangan sedang dijalankan untuk membuka 100 cawangan baharu dalam tempoh 10 tahun akan datang, dengan pelancaran awal sebanyak enam cawangan di Kaherah yang disasarkan pada 2026," katanya.

-- BERNAMA