BERITA TERKINI   AirBorneo rancang lancarkan penerbangan permulaan dari Kuching ke Singapura, Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu pada Julai - CEO Megat Ardian | Tambang penerbangan AirBorneo buat masa ini tidak berubah walaupun harga bahan api global meningkat - CEO Megat Ardian | AirBorneo rancang lancar operasi jet serantau dari Kuching menggunakan tiga pesawat Boeing 737-800 pada Julai - CEO Megat Ardian | Anak syarikat Aneka Jaringan peroleh kontrak Projek Sambungan Lebuhraya Pantai Baharu daripada IJM Construction bernilai RM82.8 juta | 
Ad Banner

Kerajaan Lulus RM16 Juta Bagi Program Kemampanan Penanaman Lada Bagi 2026

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Kerajaan meluluskan peruntukan RM16 juta bagi Program Kemampanan Penanaman Lada tahun ini di bawah Rolling Plan Pertama (RP1), Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), kata Menteri Perladangan dan Komoditi (KPK) Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Beliau berkata program itu memberi tumpuan kepada pelaksanaan skim penanaman baharu yang memfokuskan kepada pengeluaran lada premium, bertujuan membantu pekebun mengusahakan kawasan penanaman lada secara lebih mampan dan berdaya saing.

“Bantuan yang disalurkan merangkumi penyediaan input pertanian seperti baja dan dolomit, pemberian insentif keratan lada serta tiang sokongan, di samping khidmat nasihat teknikal.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

"KPK sentiasa prihatin terhadap cabaran yang dihadapi oleh para pekebun kecil lada, terutama kenaikan kos input pertanian yang menjejaskan pendapatan dan daya saing dalam pasaran,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi KPK di Dewan Rakyat hari ini.

Noraini berkata KPK melalui Lembaga Lada Malaysia (MPB) juga menekankan aspek peningkatan kapasiti dan pengetahuan pekebun bagi memastikan mereka sentiasa peka terhadap perkembangan terkini dalam aspek agronomi tanaman, khususnya berkaitan amalan penanaman lada yang baik selaras dengan pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP).

Beliau berkata KPK menyedari cabaran berkaitan kos input pertanian khususnya baja yang semakin meningkat.

Ad Banner
Ad Banner

Oleh itu, MPB menggalakkan pekebun supaya memberi fokus kepada penghasilan lada premium seperti Lada Berkualiti Eksport dan Lada Putih Krim yang mampu mencapai harga sehingga RM65,000 satu tan di pasaran, katanya.

“Pendekatan ini bertujuan membolehkan pekebun menikmati pulangan yang lebih baik melalui harga premium yang ditawarkan, di samping memastikan bekalan lada premium yang terjamin dan konsisten bagi memenuhi permintaan pasaran peringkat atasan,” katanya.

-- BERNAMA