BERITA TERKINI   Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari BNM hari ini kekalkan OPR pada 2.75 peratus | Tiga hingga empat individu akan dipanggil untuk beri kenyataan tentang dakwaan cubaan jatuhkan kerajaan -- KPN | Ambil iktibar krisis di Timur Tengah, jadikan perpaduan sebagai kekuatan Malaysia - PM Anwar | Anggaran 60 peratus ahli KWSP berpotensi capai tahap simpanan asas kira-kira RM390,000 pada umur 60 tahun menjelang 2030 - Amir Hamzah | Polis telah ambil keterangan seorang individu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan cubaan jatuhkan kerajaan -- KPN | 
Ad Banner

Sekatan China Terhadap Syarikat Pertahanan AS Tidak Jejas Perdagangan, FDI Malaysia

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Sekatan yang dikenakan oleh China terhadap beberapa syarikat pertahanan Amerika Syarikat (AS) tidak memberikan kesan secara langsung kepada perdagangan dan  pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia setakat ini, khususnya bagi sektor elektrik dan elektronik (E&E).

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menjelaskan penilaian yang dibuat oleh pihaknya dan agensi mengambil kira struktur sektor E&E Malaysia yang didominasi oleh aktiviti perkilangan dan aplikasi komersial termasuk semikonduktor, produk elektrik industri dan pengguna serta peralatan berkaitan pusat data.

“Aktiviti ini tidak melibatkan teknologi pertahanan atau persenjataan, yang berada di bawah skop dan bidang kuasa Kementerian Pertahanan,” jelasnya menerusi jawapan bertulis Dewan Rakyat yang dikeluarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Kementerian itu menjawab pertanyaan Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar (PN-Kemaman) mengenai penilaian dan respons kerajaan terhadap kesan kepada perdagangan dan FDI terutamanya berkaitan produk elektronik susulan sekatan China terhadap beberapa syarikat pertahanan milik AS.

MITI memaklumkan Malaysia sentiasa mengamalkan dasar ekonomi dan hubungan perdagangan antarabangsa yang pragmatik, seimbang dan berprinsip.

Usaha berterusan diambil untuk mengimbangi kepentingan pembangunan dan ekonomi negara di samping mengekalkan hubungan yang baik dan saling menguntungkan dengan rakan dagang utama, seperti China dan AS, jelasnya.

Ad Banner
Ad Banner

MITI menjelaskan sekatan itu merupakan tindakan unilateral, dan Malaysia tidak mengiktiraf sebarang sekatan unilateral dari mana-mana negara.

“Oleh itu, tiada sekatan atau perundangan tambahan dikenakan terhadap syarikat AS yang beroperasi di Malaysia dari sudut perdagangan dan pelaburan,” tambahnya.

Bagaimanapun, sebarang aktiviti yang melibatkan barangan atau teknologi strategik tetap tertakluk kepada Akta Perdagangan Strategik 2010 [Akta 708], selaras dengan obligasi Malaysia di bawah Resolusi Majlis Keselamatan PBB 1540, dengan penglibatan kementerian dan agensi berkaitan mengikut bidang kuasa masing-masing.

“MITI akan terus memantau perkembangan geopolitik dan perdagangan global bagi memastikan kestabilan perdagangan serta keyakinan pelabur terhadap Malaysia kekal terpelihara,” menurut kementerian itu.

-- BERNAMA