BERITA TERKINI   Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari BNM hari ini kekalkan OPR pada 2.75 peratus | Tiga hingga empat individu akan dipanggil untuk beri kenyataan tentang dakwaan cubaan jatuhkan kerajaan -- KPN | Ambil iktibar krisis di Timur Tengah, jadikan perpaduan sebagai kekuatan Malaysia - PM Anwar | Anggaran 60 peratus ahli KWSP berpotensi capai tahap simpanan asas kira-kira RM390,000 pada umur 60 tahun menjelang 2030 - Amir Hamzah | Polis telah ambil keterangan seorang individu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan cubaan jatuhkan kerajaan -- KPN | 
Ad Banner

SC Sedang Muktamad Rangka Kerja Bagi Skop, Kehendak Pelesenan Aktiviti Amanah Tunai

KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sedang memuktamadkan rangka kerja bagi menjelaskan skop dan kehendak pelesenan bagi aktiviti skim Amanah Tunai yang melibatkan pelaburan di dalam produk pasaran modal, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

Kementerian itu berkata SC akan terus memperkukuh pengawasan serta mengambil tindakan susulan yang tegas dan bersesuaian bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang termasuk melindungi kepentingan pelabur.

“Untuk makluman, syarikat-syarikat amanah yang menawarkan skim Amanah Tunai adalah syarikat amanah yang didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di bawah Akta Syarikat Amanah 1949 [Akta 100].

Ad Banner
Ad Banner

“Ia juga adalah tertakluk kepada Akta Pemegang Amanah 1949 [Akta 208],” kata MOF melalui jawapan bertulis Dewan Rakyat yang dikeluarkan dalam laman sesawang Parlimen, hari ini.

Kementerian itu menjawab soalan Khoo Poay Tiong [PH-Kota Melaka] mengenai bilakah kerajaan akan menubuhkan pasukan petugas khas antara agensi untuk menjalankan siasatan forensik ekoran kejadian ingkar bayar Syarikat Amanah Tunai bagi menjejak aliran wang haram dan pelarian cukai.

Sementara itu, menjawab soalan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin [PN-Pagoh] mengenai senarai cukai baharu yang akan diperkenalkan pada 2026, MOF berkata kerajaan tidak bercadang untuk memperkenalkan sebarang cukai baharu pada tahun ini.

Ad Banner
Ad Banner

 “Sebaliknya, tumpuan kerajaan adalah kepada pengukuhan dasar percukaian sedia ada dan peningkatan tahap pematuhan,” katanya.

Untuk 2026, kerajaan akan menyelesaikan bayaran balik bagi pemfailan cukai 2023 pada suku pertama tahun ini.

“Seterusnya, kerajaan akan memastikan bayaran balik bagi pemfailan cukai 2024 dapat dibuat sepenuhnya sebelum penghujung tahun,” katanya lagi.

-- BERNAMA