BERITA TERKINI   AirBorneo rancang lancarkan penerbangan permulaan dari Kuching ke Singapura, Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu pada Julai - CEO Megat Ardian | Tambang penerbangan AirBorneo buat masa ini tidak berubah walaupun harga bahan api global meningkat - CEO Megat Ardian | AirBorneo rancang lancar operasi jet serantau dari Kuching menggunakan tiga pesawat Boeing 737-800 pada Julai - CEO Megat Ardian | 
Ad Banner

MIDA Jangka Lebih Banyak Pelaburan Berteraskan Kualiti Di Bawah NIF - Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menjangka lebih banyak pelaburan berteraskan kualiti akan menjana manfaat limpahan yang bermakna kepada ekonomi Malaysia di bawah Kerangka Insentif Baharu (NIF).

Pengerusinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata di bawah NIF, pelabur dan syarikat dijangka memperkenalkan teknologi yang sesuai, mewujudkan peluang pekerjaan yang berkualiti tinggi dan memberikan pulangan yang bermakna kepada ekonomi untuk layak mendapat insentif yang dipertingkatkan.

“(Pelabur) mungkin akan mengadu dari segi layanan. Berdasarkan sumber yang terhad, saya berpendapat kita perlu memberi ganjaran kepada mereka yang memberikan limpahan manfaat yang strategik kepada ekonomi.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Saya fikir itu adalah positif dan kami telah memulakan dasar ini seperti yang diumumkan beberapa minggu lepas. Setakat ini, terdapat input positif daripada pelabur, terutamanya pelabur strategik,” katanya selepas melancarkan One Credit di sini hari ini.

Tengku Zafrul turut menjangka minat yang tinggi dan penyertaan yang meningkat daripada syarikat yang memohon di bawah NIF.

“Ini (NIF) telah disediakan selama lebih setahun dan ia berdasarkan input daripada syarikat. Mereka semua mengetahuinya.

Ad Banner
Ad Banner

“Oleh itu, kami tidak menjangka permohonan akan perlahan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata ekonomi digital akan menjadi pemacu utama dalam mencapai sasaran pelaburan berkualiti Malaysia pada 2026.

Tengku Zafrul berkata pembangunan pusat data telah membantu membina ekosistem ekonomi digital.

“(Daripada pusat data), kami melihat banyak syarikat ini memasuki pasaran, bukan sahaja dari segi perkhidmatan, malah dari segi peralatan.

“(Pada masa ini), semua orang memerlukan kuasa pengkomputeran dan itu akan membantu (memacu) ekonomi digital,” katanya.

-- BERNAMA