BERITA TERKINI   Malaysia dan Australia sokong seruan Paus Leo untuk keamanan serta gesa diadakan dialog bagi menamatkan konflik global | Malaysia, Australia setuju perkukuh kerjasama teknikal antara Petronas dan pihak berkaitan Australia bagi pastikan kestabilan bekalan tenaga - PM Anwar | Malaysia kekal teguh pendirian terhadap Palestin, hargai sokongan Australia terhadap bantuan kemanusiaan serta usaha penyelesaian secara aman - PM Anwar | Bank Rakyat umum bayar dividen 18 peratus berjumlah RM534.7 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2025 | Golden Destinations yang baru disenaraikan di Pasaran ACE, dibuka pada 49 sen iaitu premium empat sen daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) dengan 15 juta saham diniagakan  | 
Ad Banner

MITI Belanja RM335 Juta Untuk R&D&C&I, Baki RM55.64 Juta Untuk Komitmen Projek

 KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah membelanjakan RM335 juta atau 89.6 peratus daripada keseluruhan peruntukan RM374 juta, bagi program penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I) setakat 30 Jun 2025.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin, berkata siling peruntukan pembangunan yang diluluskan kepada MITI di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) sehingga tarikh tersebut berjumlah RM402 juta.

Beliau menjelaskan baki geran RM55.64 juta yang tidak dipulangkan merangkumi RM33.97 juta di bawah Dana Projek Berimpak Tinggi (HIF) yang disalurkan melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta RM21.67 juta di bawah Program Pembangunan Pengeluaran Produk Nilai Tambah Tinggi dan Kompleks (HVAD) oleh Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF).

Ad Banner

Beliau berkata peruntukan tersebut merupakan projek sambungan di bawah seliaan Kementerian Ekonomi seperti yang diluluskan dalam sistem MyProjek.

“Daripada jumlah itu, RM33.97 juta telah digunakan untuk menampung komitmen projek HIF yang telah diluluskan dan masih dalam pelaksanaan.

“Bagi HVAD pula, baki peruntukan dimanfaatkan untuk membiayai 28 projek baharu yang diluluskan dalam RMK-12 sehingga 31 Okt, 2025, dengan komitmen berjumlah RM20.7 juta dan masih dalam pelaksanaan,” katanya.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul Laporan Ketua Audit Negara mengenai penyata kewangan agensi persekutuan Tahun 2024 di Dewan Rakyat, menjawab soalan Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) mengenai status baki geran MITI.

Sim turut mengakui bahawa proses kelulusan melalui sistem MyProjek sahaja adalah tidak memadai, dan aspek tadbir urus perlu diperkukuh selaras dengan Pekeliling Perbendaharaan PA3.2 seperti yang disyorkan oleh Jabatan Audit Negara.

“Sehubungan itu, MITI akan mendapatkan kelulusan khas secara menyeluruh daripada Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan bagi menjadikan HIF dan HVAD sebagai projek sambungan untuk melunaskan komitmen sedia ada sehingga selesai, memandangkan tempoh pembayaran projek melangkaui tempoh RMK yang ditetapkan.

“Sebarang baki peruntukan akan dipulangkan setelah program ini selesai sepenuhnya,” katanya.

-- BERNAMA