BERITA TERKINI   Kerajaan lindungi sektor kritikal termasuk nelayan dan pengangkutan melalui subsidi diesel - PM Anwar | Hanya 15 peratus terkesan harga diesel pasaran, majoriti 85 peratus masih nikmati subsidi - PM Anwar | LTSIP buka laluan terus ke hab ASEAN, rangsang perdagangan dan pelancongan Kelantan - PM Anwar | LTSIP bernilai RM440 juta pemangkin ekonomi, hubungkan Kelantan ke rangkaian serantau - PM Anwar | Kerajaan ambil pendekatan realistik, teruskan projek-projek strategik di Kelantan - PM Anwar | 
Ad Banner

Ringgit Ditutup Tinggi Berbanding Dolar AS Ekoran Ketidaktentuan Tarif, Rundingan AS-Iran

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis susulan ketidaktentuan berkaitan dasar tarif AS dan rundingan AS-Iran.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 3.8865/8925 berbanding dolar AS daripada 3.8900/8955 ketika ditutup semalam.

Ad Banner

Wakil Perdagangan AS Jamieson Greer dilaporkan berkata kadar tarif AS bagi sesetengah negara akan meningkat kepada 15 peratus atau lebih tinggi daripada 10 peratus namun tidak menamakan mana-mana rakan dagang tertentu.

Sementara itu, pegawai AS dan Iran berada di Geneva, Switzerland hari ini bagi rundingan nuklear tidak langsung untuk pusingan ketiga.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata risiko peristiwa berkaitan rundingan nuklear AS-Iran akan menjadi tumpuan rapat peserta pasaran.

Ad Banner
Ad Banner

“Pelabur dilihat tidak dapat membuat keputusan yang jelas ketika ini manakala ringgit pula sedang membentuk paras asas pada sekitar RM3.88 hingga RM3.89 (berbanding dolar AS), yang lebih hampir kepada paras sokongan segera RM3.8722,” katanya kepada Bernama.

Pada akhir dagangan, ringgit diniagakan tinggi kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama.

Unit domestik meningkat berbanding euro kepada 4.5853/5924 daripada 4.5855/5920 ketika ditutup semalam, dan naik berbanding pound British kepada 5.2573/2654 daripada 5.2585/2659.

Bagaimanapun, ringgit susut berbanding yen Jepun kepada 2.4902/4942 daripada 2.4848/4885.

Mata wang tempatan diniagakan rendah kebanyakannya berbanding mata wang negara ASEAN.

Ringgit turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0755/0805 daripada 3.0736/0782 ketika ditutup pada Rabu, dan kurang stabil berbanding rupiah Indonesia kepada 231.9/232.3 daripada 231.5/231.9.

Unit domestik juga lemah berbanding baht Thailand kepada 12.5169/5435 daripada 12.5121/5374 namun meningkat berbanding peso Filipina kepada 6.74/6.76 daripada 6.76/6.78.

-- BERNAMA