BERITA TERKINI   Kerajaan lindungi sektor kritikal termasuk nelayan dan pengangkutan melalui subsidi diesel - PM Anwar | Hanya 15 peratus terkesan harga diesel pasaran, majoriti 85 peratus masih nikmati subsidi - PM Anwar | LTSIP buka laluan terus ke hab ASEAN, rangsang perdagangan dan pelancongan Kelantan - PM Anwar | LTSIP bernilai RM440 juta pemangkin ekonomi, hubungkan Kelantan ke rangkaian serantau - PM Anwar | Kerajaan ambil pendekatan realistik, teruskan projek-projek strategik di Kelantan - PM Anwar | 
Ad Banner

Malaysia Catat Perdagangan RM272.4 Bilion, Pulau Pinang Pengesport Utama

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Malaysia mencatatkan jumlah perdagangan bernilai RM272.4 bilion pada Januari 2026, dengan eksport dan import masing-masing RM146.9 bilion dan RM125.5 bilion, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata eksport meningkat RM24.1 bilion atau 19.6 peratus berbanding tahun sebelumnya, menjadikan jumlah eksport RM146.9 bilion.

“Kenaikan eksport didorong oleh penghantaran lebih tinggi dari Pulau Pinang (RM22.1 bilion), Johor (RM5.7 bilion), Kuala Lumpur (RM736.4 juta), Perak (RM373.2 juta), Negeri Sembilan (RM60.5 juta) dan Perlis (RM5.7 juta),” katanya dalam kenyataan mengenai statistik eksport-import mengikut negeri bagi Januari 2026.

Ad Banner

“Sebaliknya, eksport menurun di Melaka (RM1.5 bilion), Kedah (RM1.5 bilion), Terengganu (RM549.3 juta), Pahang (RM389.8 juta), Selangor (RM339.1 juta), Labuan (RM212.3 juta), Sarawak (RM293.8 juta), Sabah (RM82.8 juta) dan Kelantan (RM51.7 juta),” katanya.

Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama Malaysia dengan 44.2 peratus daripada jumlah eksport, diikuti Johor (19.7 peratus), Selangor (14.2 peratus), Sarawak (6.1 peratus) dan Kuala Lumpur (3.5 peratus).

Bagi import pula, Mohd Uzir berkata Januari 2026 mencatatkan peningkatan 5.3 peratus atau RM6.3 bilion berbanding bulan yang sama pada 2025.

Ad Banner
Ad Banner

“Peningkatan import didorong oleh Pulau Pinang (RM3.7 bilion), Selangor (RM2.0 bilion), Melaka (RM1.3 bilion), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM846.0 juta), Kedah (RM772.0 juta), Perak (RM236.3 juta), Sarawak (RM76.2 juta), Negeri Sembilan (RM161.1 juta) dan Labuan (RM3.0 juta),” katanya.

“Walau bagaimanapun, import menurun di Johor (RM1.8 bilion), Pahang (RM192.5 juta), Sabah (RM71.5 juta), Perlis (RM41.9 juta), Kelantan (RM26.4 juta) dan Terengganu (RM1.5 juta).”

Pulau Pinang menyumbang 25.8 peratus daripada jumlah import Malaysia, diikuti Selangor (25.1 peratus), Johor (21.7 peratus), Kuala Lumpur (8.7 peratus) dan Kedah (5.6 peratus).

-- BERNAMA