BERITA TERKINI   Malaysia dan Australia sokong seruan Paus Leo untuk keamanan serta gesa diadakan dialog bagi menamatkan konflik global | Malaysia, Australia setuju perkukuh kerjasama teknikal antara Petronas dan pihak berkaitan Australia bagi pastikan kestabilan bekalan tenaga - PM Anwar | Malaysia kekal teguh pendirian terhadap Palestin, hargai sokongan Australia terhadap bantuan kemanusiaan serta usaha penyelesaian secara aman - PM Anwar | Bank Rakyat umum bayar dividen 18 peratus berjumlah RM534.7 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2025 | Golden Destinations yang baru disenaraikan di Pasaran ACE, dibuka pada 49 sen iaitu premium empat sen daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) dengan 15 juta saham diniagakan  | 
Ad Banner

Pengeluar Automotif Digesa Perluas Penyertaan Vendor Tempatan Dalam Rantaian Bekalan

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Pengeluar automotif yang beroperasi di Malaysia digesa meningkatkan penggunaan komponen serta perkhidmatan tempatan dengan melibatkan vendor tempatan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam rantaian bekalan global mereka.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin berkata Malaysia berharap lebih banyak syarikat tempatan dapat mengambil bahagian dalam rantaian bekalan automotif ketika pengeluar global terus memperluas kehadiran mereka di negara ini.

“Keberhasilan sebenar bukan sekadar diukur melalui jumlah jualan, tetapi juga pembangunan kandungan tempatan. Kita mahu melihat vendor Malaysia dan PKS disepadukan dalam rantaian bekalan global anda,” katanya pada majlis pelancaran Jaecoo J5 di sini hari ini.

Ad Banner

Beliau menggesa pengeluar automotif menyokong pertumbuhan ekosistem automotif negara melalui pemindahan teknologi, pembangunan bakat serta peningkatan perolehan komponen daripada pembekal tempatan.

Pengeluar juga perlu berkongsi kepakaran dengan pengeluar komponen tempatan bagi membantu mereka muncul sebagai pembekal global, di samping melabur dalam latihan untuk jurutera dan juruteknik Malaysia supaya mampu mengendalikan teknologi automotif yang semakin canggih.

“Apabila vendor tempatan berkembang, keseluruhan ekosistem akan menjadi lebih berdaya saing dan pada masa sama memberi manfaat kepada syarikat melalui pangkalan operasi global yang lebih cekap serta kos yang lebih efektif,” katanya.

Ad Banner
Ad Banner

Seruan itu dibuat ketika pemain automotif global terus memperluas kehadiran mereka di Malaysia, dengan sektor berkenaan menerima manfaat daripada peningkatan pelaburan dalam pembuatan, rantaian bekalan serta penyelidikan dan pembangunan.

-- BERNAMA