BERITA TERKINI   Jepun gantung perkhidmatan kereta api laju Tokyo-Aomori susulan gempa bumi 7.5 magnitud - lapor Kyodo | Magnitud gempa bumi di Jepun disemak semula kepada 7.5; tsunami dikesan di luar pesisir Iwate dan Aomori di Lautan Pasifik - lapor Kyodo | Gempa bumi kuat berukuran 7.4 magnitud landa luar pesisir timur laut dan utara Jepun pada Isnin, amaran tsunami dikeluarkan, lapor media | Gempa bumi berukuran 7.4 magnitud gegar timur laut dan utara Jepun - laporan | Kerajaan pertimbang pengecualian duti import dan cukai jualan bagi pengimportan semula barangan buatan Malaysia yang terjejas akibat konflik Asia Barat sehingga 31 Dis, 2026 - PM Anwar | 
Ad Banner

Kerajaan Kekal Unjuran Pertumbuhan Ekonomi 2026 Pada 4.0-4.5 Peratus

PUTRAJAYA, 12 Mac (Bernama) -- Kerajaan setakat ini masih mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi 2026 pada kadar 4.0 hingga 4.5 peratus, meskipun berdepan cabaran geopolitik global dan ketidaktentuan ekonomi luar.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata kerajaan memilih untuk kekal dengan sasaran tersebut setelah mengambil kira pelbagai prospek dan risiko yang mungkin mempengaruhi prestasi ekonomi negara tahun ini.

“Cuma perkara ini akan sentiasa disemak oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan BNM yang akan akhirnya menentukan sama ada sasaran ini kita kekal naik ataupun turun. Tetapi setakat ini indikasinya adalah kita kekal dengan sasaran ini,” katanya kepada media selepas melancarkan Sistem Pemantauan Pelan Pelaksanaan Dasar Rancangan Malaysia Ke-13 (MyRMK) di sini hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Menurut Akmal Nasrullah walaupun situasi geopolitik menjadi antara cabaran utama pada 2026, prestasi ekonomi pada tahun sebelumnya (2025) memberi petunjuk bahawa ekonomi negara masih mempunyai daya tahan.

“Pada 2025, kita nampak ada indikasi bahawa daya tahan ekonomi kita masih kukuh, dengan kadar pertumbuhan lebih tinggi daripada sasaran yang ditetapkan.

“Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2025 mencatatkan 5.2 peratus, dengan momentum yang lebih kukuh apabila berkembang 6.3 peratus pada suku keempat tahun tersebut.

Ad Banner
Ad Banner

Selain itu, pasaran buruh juga menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila kadar pengangguran menurun kepada 2.9 peratus pada suku keempat 2025, iaitu paras terendah dalam tempoh 11 tahun, tambahnya.

“Dalam masa sama, tekanan inflasi semakin terkawal apabila kadar inflasi menyederhana kepada 1.4 peratus pada 2025 berbanding 1.8 peratus pada 2024.

“Dari segi kesejahteraan rakyat pula, Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES) 2024 menunjukkan insiden kemiskinan mutlak peringkat nasional menurun kepada 5.1 peratus melibatkan sekitar 416,000 isi rumah, manakala kemiskinan tegar mengecil kepada 0.09 peratus melibatkan kira-kira 7,200 isi rumah,” katanya.

Akmal Nasrullah berkata kesemua indikator tersebut menunjukkan bahawa usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat mula menampakkan hasil yang positif, walaupun cabaran global masih berterusan.

-- BERNAMA