BERITA TERKINI   MIC sah bertanding empat kerusi di PRN Johor, jumlah kerusi di Negeri Sembilan masih dalam perbincangan - Naib Presiden | Bekas ahli IKRAM didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas 158 pertuduhan guna kedudukan untuk memperoleh suapan RM98.27 juta | Permindahan TERAJU ke bawah Jabatan Perdana Menteri membuka peluang luas untuk agensi itu merealisasikan agenda PuTERA35 - Akmal Nasrullah | Tambang ECRL tular hanya spekulasi, kadar sebenar belum dimuktamadkan - MRL | 

BIMOffice Catat Kemunculan Pertama Kukuh Di Pasaran LEAP, Harga Cecah 26.5 Sen

KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Penyenaraian pertama BIMOffice Group Bhd di Pasaran LEAP Bursa Malaysia hari ini ternyata kukuh dengan mencatat harga 26.5 sen atau menokok 11.5 sen berbanding harga rujukan 15 sen selain 40,000 saham diniagakan.

Kumpulan berkenaan terbabit menyediakan khidmat perancangan pembinaan digital menggunakan model tiga dimensi (3D) dalam membantu pemaju, perunding dan kontraktor merekabentuk selain mengurus projek secara cekap.

Pengarah Urusan Kumpulan Ooi Choon Lim menyifatkan penyenaraian itu sebagai satu pencapaian penting dan mencerminkan perjalanan pertumbuhan serta keyakinan pelabur terhadap kumpulan.

Ad Banner
Ad Banner

“Penyenaraian ini hanya satu permulaan ketika kami terus berusaha memanfaatkan platform ini untuk meluaskan jangkauan pasaran serta terus memacu transformasi digital dalam industri pembinaan.

“Kami amat berbangga dengan pencapaian hari ini dan berharap dapat meraih kejayaan baharu dari segi perolehan hasil serta keuntungan selepas cukai dan pada masa sama mengukuhkan lagi kedudukan dalam industri ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Kumpulan itu mempunyai kepakaran dalam pemodelan maklumat bangunan (BIM) yang merangkumi pendigitalan lakaran dua dimensi konvensional kepada model 3D yang sarat data bagi menambahbaik perancangan, kos lebih cekap dan penyelarasan projek.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Perkhidmatan utama kami termasuk perundingan digital, rekaan BIM dan pembinaan selain penyelesaian perisian digital dan teknologi maklumat mengikut kesesuaian projek.

“Sejak penubuhan syarikat pada 2017, kami dapat mewujudkan pengalaman kukuh yang merangkumi projek kediaman, komersial dan infrastruktur, termasuk penglibatan dalam pembangunan seperti Sistem Transit Rapid Link serta projek di pusat bandar Kuala Lumpur,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Tan Kean Eng berkata krisis Asia Barat pada masa ini tidak memberi kesan langsung ke atas operasi kumpulan berkenaan.

“Kami percaya tiada sebarang impak langsung secara material memandangkan perkhidmatan kami lebih menumpukan industri pembinaan di Malaysia dan Singapura dan tidak terbabit dalam produk rentas sempadan.

“Bagaimanapun, peningkatan kos bahan api dan bahan binaan berkemungkinan menjejaskan pelaksanaan projek serta sentimen pasaran secara menyeluruh yang boleh memberi kesan tidak langsung ke atas industri,” katanya.

Tan berkata kumpulan itu juga kekal berdaya tahan dengan nilai kontrak dalam tangan bernilai RM6.26 juta yang mampu memberi kebolehlihatan pendapatan sehingga 2027.

“Kami percaya tekanan kos mungkin mempercepatkan lagi penggunaan penyelesaian digital seperti BIM apabila pemaju berusaha meningkatkan kecekapan, produktiviti dan kualiti keseluruhan projek,” katanya.

-- BERNAMA