BERITA TERKINI   3,000 Kad Komuter MADANI Shuttle Selatan bernilai RM50 diagihkan percuma kepada rakyat Johor, galak guna pengangkutan awam - Anthony Loke | Laluan KTM Shuttle Selatan akan diperluas dari Paloh ke Kulai, tiga stesen baharu dibuka di Pasir Gudang dan Johor Bahru - Anthony Loke | Ahli IKRAM didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas 158 pertuduhan guna kedudukan untuk memperoleh suapan RM98.27 juta | MIC sah bertanding empat kerusi di PRN Johor, jumlah kerusi di Negeri Sembilan masih dalam perbincangan - Naib Presiden | Permindahan TERAJU ke bawah Jabatan Perdana Menteri membuka peluang luas untuk agensi itu merealisasikan agenda PuTERA35 - Akmal Nasrullah | 

Konflik Asia Barat: BNM Tumpu Sokongan Bersasar, Tiada Keperluan Pakej Rangsangan

KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini memberi isyarat tiada keperluan segera bagi pelaksanaan pakej rangsangan secara meluas berikutan konflik Asia Barat ketika ini.

Susulan itu, bank pusat berkenaan lebih cenderung kepada pendekatan holistik dan bersasar ketika keadaan ekonomi negara masih kekal berdaya tahan.

Ketika menekankan perkara itu, Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata pakej rangsangan itu tidak boleh dilaksanakan secara meluas di semua sektor, sebaliknya perlu holistik dan berpandukan gambaran serta tahap ekonomi secara menyeluruh.

Ad Banner
Ad Banner

 Beliau berkata ini penting memandangkan Malaysia memasuki tahun ini daripada kedudukan kukuh susulan pemulihan daripada pelbagai krisis, terutama pandemik COVID-19.

“Kita perlu mengambil maklum serta mengakui bahawa kita baru sahaja selesai daripada beberapa krisis, khususnya pandemik COVID-19.

“Tempoh pasca pandemik pula menyaksikan kita telah melaksanakan banyak bantuan daripada sokongan fiskal kerajaan kepada bantuan bank dengan pendekatan secara bersasar,” katanya kepada pemberita selepas beberapa laporan utama BNM dikeluarkan di sini, hari ini.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Abdul Rasheed berkata langkah sokongan meluas yang dilaksanakan pada tempoh pasca pandemik juga lebih bersasar, malah ada yang masih dijalankan.

“Usaha ini masih diteruskan dan bank-bank bersedia membantu peminjam, korporat serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Oleh itu, jika mengalami sebarang masalah kewangan, mereka boleh menghubungi pihak bank yang sedia membantu,” katanya.

Selain itu, beliau berkata kerajaan terus mendapatkan maklum balas daripada pelbagai sektor menerusi mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi membolehkan pihak berkuasa mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai keadaan sebenar ekonomi, mengenal pasti segmen paling terjejas serta menyalurkan bantuan yang amat diperlukan.

“Langkah ini tidak boleh dilaksanakan secara meluas atau (merentasi) seluruh sektor. Kita perlu mengambil pendekatan menerusi penilaian secara holistik mengenai keseluruhan ekonomi sebelum memutuskan ke mana sumber ini disalurkan,” katanya.

-- BERNAMA