Sum Technology Memeterai Perjanjian Pengunderaian Dengan Malacca Securities Untuk IPO
KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Sum Technology Bhd telah memeterai perjanjian pengunderaitan dengan Malacca Securities Sdn Bhd untuk cadangan tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd.
Syarikat itu memiliki kepakaran dalam penyediaan penyelesaian reka bentuk dan bina turnkey untuk produk, teknologi termasuk perkhidmatan kritikal misi, bilik bersih, persekitaran terkawal, sistem mekanikal, elektrik, utiliti proses dan perlindungan kebakaran.
Syarikat tersebut melalui satu kenyataan berkata IPO yang dicadangkan itu melibatkan terbitan 117.0 juta saham baharu, mewakili 26 peratus daripada modal sahamnya yang diperbesarkan, terdiri daripada 22.5 juta saham untuk orang awam Malaysia dan 4.5 juta saham kepada pengarah serta kakitangan yang layak.
Baki 33.75 juta saham dan 56.25 juta saham akan diperuntukkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih dan pelabur Bumiputera, masing-masing akan diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Di bawah perjanjian pengunderaitan itu, Malacca Securities akan menaja jamin 27.0 juta saham terbitan yang diperuntukkan kepada orang awam Malaysia dan orang yang layak.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lee Thiam Hing, berkata perjanjian itu merupakan satu pencapaian penting dalam perjalanan penyenaraian syarikat berkenaan.
“IPO ini akan mengukuhkan kedudukan kewangan kami dan membolehkan syarikat mempercepatkan pelan pengembangan kami, meningkatkan keupayaan kejuruteraan dan mengambil peluang dalam industri pertumbuhan tinggi seperti semikonduktor serta pusat data,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Malacca Securities, Lim Chia Wei memuji Sum Technology, dengan memetik bahawa keupayaan teknikal dan rekod prestasi syarikat itu dalam menyampaikan penyelesaian siap guna bersepadu.
“Kami percaya IPO ini akan menyediakan platform yang mantap kepada Sum Technology dalam melaksanakan strategi pertumbuhan dan mengukuhkan kedudukan pasarannya,” katanya.
Sum Technology juga menjelaskan bahawa hasil daripada IPO berkenaan akan digunakan untuk pengembangan perniagaan, penubuhan pejabat baharu di Filipina, aktiviti reka bentuk dan pembangunan serta tujuan modal kerja.
“Melangkah ke hadapan, Sum Technology berhasrat untuk mengembangkan jejak operasi, meningkatkan keupayaan penyampaian projek dan mengukuhkan kedudukannya sebagai penyedia penyelesaian yang boleh dipercayai dalam persekitaran kritikal misi,” katanya.
-- BERNAMA