BERITA TERKINI   Dua anggota tentera maut terkena letupan bom ketika latihan di Kem Hobart, Gurun, Kedah - Polis | 3,000 Kad Komuter MADANI Shuttle Selatan bernilai RM50 diagihkan percuma kepada rakyat Johor, galak guna pengangkutan awam - Anthony Loke | Laluan KTM Shuttle Selatan akan diperluas dari Paloh ke Kulai, tiga stesen baharu dibuka di Pasir Gudang dan Johor Bahru - Anthony Loke | Ahli IKRAM didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas 158 pertuduhan guna kedudukan untuk memperoleh suapan RM98.27 juta | MIC sah bertanding empat kerusi di PRN Johor, jumlah kerusi di Negeri Sembilan masih dalam perbincangan - Naib Presiden | 

ASEAN Sasar Perdagangan Intra-serantau 30 Peratus Menjelang 2030 - Mohamad

Daripada Linda Khoo Hui Li

CEBU, 8 Mei (Bernama) -- ASEAN komited untuk memperkukuh perdagangan intra-serantau, termasuk meningkatkan perdagangan antara negara anggota kepada sekurang-kurangnya 30 peratus menjelang 2030.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata negara anggota ASEAN perlu bergerak sebagai satu blok yang lebih tersusun dan bersatu bagi menangani impak konflik global, termasuk gangguan terhadap perdagangan, ekonomi dan keselamatan serantau khususnya ketika konflik Asia Barat. 

Ad Banner
Ad Banner

Katanya ASEAN perlu memberi penekanan kepada usaha memperkemas perjanjian perdagangan bebas (FTA) dan memudahkan pergerakan barangan dalam kalangan negara anggota bagi memperkukuh perdagangan intra-ASEAN. 

“Perdagangan intra-ASEAN kini masih belum mencapai 25 peratus. Kita mahu perdagangan antara negara-negara ASEAN ini mencecah sekurang-kurangnya 30 peratus menjelang 2030.

“Kita sedang melihat status semasa, faktor penghalang serta langkah yang perlu diambil. Oleh sebab itu, kita mahu memorandum persefahaman (MoU), FTA  ASEAN dan pergerakan barangan diperkemaskan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Jika boleh, perdagangan antara negara-negara ASEAN juga tidak dikenakan tarif,” katanya kepada media Malaysia pada Khamis.

Mohamad berkata konflik di Asia Barat menjadi pengajaran penting kepada ASEAN bahawa kerjasama dan persefahaman dalam kalangan negara anggota amat diperlukan bagi menghadapi cabaran serantau dan global.

“Masing-masing ada kekuatan dan kelebihan. Kita perlu mencari satu formula bagaimana kita dapat mengeratkan kerjasama dan saling membantu antara satu sama lain,” katanya. 

Mengenai Mesyuarat Bersama Menteri Luar dan Ekonomi ASEAN yang diadakan pada Khamis,  Mohamad berkata ia merupakan inisiatif yang dimulakan di bawah kepengerusian Malaysia untuk memastikan penyelarasan antara tonggak politik-keselamatan dan ekonomi.

Beliau berkata perkembangan ASEAN sebelum ini banyak berasaskan aspek politik dan keselamatan, namun fokus kini beralih kepada pengukuhan ekonomi dan kerjasama serantau yang lebih menyeluruh.

Katanya mesyuarat bersama melibatkan menteri luar dan menteri ekonomi ASEAN diadakan untuk memastikan setiap keputusan dapat diselaraskan merentasi semua tonggak ASEAN termasuk ekonomi serta sosial dan budaya. 

-- BERNAMA