BERITA TERKINI   3,000 Kad Komuter MADANI Shuttle Selatan bernilai RM50 diagihkan percuma kepada rakyat Johor, galak guna pengangkutan awam - Anthony Loke | Laluan KTM Shuttle Selatan akan diperluas dari Paloh ke Kulai, tiga stesen baharu dibuka di Pasir Gudang dan Johor Bahru - Anthony Loke | Ahli IKRAM didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas 158 pertuduhan guna kedudukan untuk memperoleh suapan RM98.27 juta | MIC sah bertanding empat kerusi di PRN Johor, jumlah kerusi di Negeri Sembilan masih dalam perbincangan - Naib Presiden | Permindahan TERAJU ke bawah Jabatan Perdana Menteri membuka peluang luas untuk agensi itu merealisasikan agenda PuTERA35 - Akmal Nasrullah | 

MR D.I.Y. Kumpul RM540 Juta Melalui Terbitan Sukuk Sulung, IMTN Terlebih Langgan 5.6 Kali

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- MR D.I.Y. Group (M) Bhd mengumpul sejumlah RM540 juta melalui terbitan sulung di bawah Program Sukuk Wakalah bernilai RM5.0 bilion, dengan bahagian Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) terlebih langgan sebanyak 5.6 kali.

Dalam satu kenyataan hari ini, peruncit kelengkapan rumah itu memaklumkan program berkenaan terdiri daripada IMTN bernilai RM525 juta dan Kertas Komersial Islam (ICP) bernilai RM15 juta.

Hasil daripada terbitan pertama Sukuk Wakalah itu akan digunakan untuk membiayai semula pinjaman sedia ada, menyokong keperluan modal kerja, membiayai perbelanjaan modal dan untuk tujuan korporat am.

Ad Banner
Ad Banner

IMTN dan ICP berkenaan diberikan penarafan kredit jangka panjang awal AA1/Stabil dan penarafan kredit jangka pendek awal P1 oleh RAM Rating Services Bhd.

Ia menyatakan kedua-duanya menunjukkan penarafan kredit jangka panjang kedua tertinggi dan penarafan kredit jangka pendek tertinggi yang diberikan oleh RAM Ratings, yang menunjukkan keupayaan kukuh syarikat itu untuk memenuhi obligasi kewangannya.

Penerbitan IMTN itu mendapat permintaan yang kukuh dengan buku pesanan pelabur mencecah paras tertinggi 6.5 kali pada panduan harga awal, membolehkan syarikat memanfaatkan momentum permintaan berkenaan untuk ditutup pada harga akhir 3.83 peratus setahun bagi bahagian tujuh tahun dan 3.92 peratus setahun bagi bahagian 10 tahun.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Urus niaga itu menarik pelbagai kumpulan pelabur yang terdiri daripada badan-badan berkanun, dana pencen, pengurus aset, syarikat takaful dan insurans serta institusi kewangan, tambah MR D.I.Y.

Ketua Pegawai Eksekutif Adrian Ong berkata terbitan ini merupakan satu pencapaian penting untuk syarikat memandangkan ia kini melangkah masuk ke dalam pasaran modal Islam Malaysia buat kali pertama.

"Langkah strategik ini memudahkan peralihan kami ke arah struktur pembiayaan yang patuh syariah, mengukuhkan lagi struktur modal kami dan memberikan fleksibiliti kewangan yang lebih besar untuk menyokong fasa pertumbuhan seterusnya," kata beliau.

CIMB Investment Bank Bhd, Hong Leong Investment Bank Bhd dan Maybank Investment Bank Bhd merupakan pengurus utama bersama bagi terbitan Sukuk Wakalah berkenaan.

-- BERNAMA