BERITA TERKINI   Tanggungan subsidi kerajaan bagi RON95 dan diesel berdasarkan harga pasaran semasa masih diunjurkan tinggi, iaitu RM3.5 bilion sebulan - MOF | Pasaran petroleum global pamer trend lebih stabil namun masih dipengaruhi ketidaktentuan bekalan fizikal, tahap inventori global dan permintaan bermusim di beberapa rantau utama dunia - MOF | Subsidi RON95 diunjurkan sekitar RM2 bilion sebulan, manakala subsidi diesel pula kira-kira RM1.5 bilion sebulan - MOF | Malaysia mahu perkukuh kerjasama dengan kerajaan dan syarikat Jepun bagi pembangunan masa depan dalam teknologi tinggi dan AI - PM Anwar | Kerjasama tenaga Petronas-JERA bersifat strategik dan memberi manfaat jangka panjang kepada Malaysia dan Jepun - PM Anwar | 
Ad Banner

BNM, Bank Indonesia Perkukuh Kerjasama Dua Hala Menerusi MoU

KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank Indonesia (BI) memeterai memorandum persefahaman (MOU) baharu bagi memperkukuh kerjasama dua hala antara kedua-dua bank pusat itu.

Dalam kenyataan bersama hari ini, kedua-dua pihak memaklumkan MOU berkenaan menyediakan platform komprehensif untuk memandu kerjasama dalam pelbagai bidang berkaitan perbankan pusat.

Ia termasuk dasar monetari, kestabilan kewangan dan dasar kehematan makro, sistem pembayaran dan pendigitalan, pembangunan sektor kewangan, inisiatif pembangunan keupayaan, perkongsian maklumat dan bidang lain.

Ad Banner
Ad Banner

Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata MOU itu meneguhkan lagi hubungan kerjasama yang berterusan antara BNM dan BI.

"MOU ini turut menekankan komitmen bersama kami untuk memperdalam kerjasama dalam bidang perbankan pusat yang sedia ada, dan pada masa yang sama memperluas kerjasama dalam bidang kepentingan bersama yang baharu," katanya.

Sementara itu, Gabenor BI Perry Warjiyo berkata MOU tersebut meneguhkan lagi hubungan kerjasama yang berterusan antara BI dan BNM, dan bukan sekadar komitmen simbolik.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

 "Ia mencerminkan semangat yang berkekalan untuk memperkukuh hubungan institusi dan memperdalam kerjasama dua hala antara dua bank pusat ini, khususnya dalam persekitaran geopolitik semasa yang mencabar," kata beliau.

Menurut kenyataan itu lagi, pemeteraian MOU ini membuka lembaran baharu ke arah kerjasama yang lebih kukuh dan bersepadu antara BNM dengan BI.

Kedua-dua bank pusat mengalu-alukan kerjasama berterusan ini dalam bidang-bidang yang dipersetujui bersama demi ekonomi kedua-dua negara yang lebih sejahtera.

-- BERNAMA