BERITA TERKINI   Tanggungan subsidi kerajaan bagi RON95 dan diesel berdasarkan harga pasaran semasa masih diunjurkan tinggi, iaitu RM3.5 bilion sebulan - MOF | Pasaran petroleum global pamer trend lebih stabil namun masih dipengaruhi ketidaktentuan bekalan fizikal, tahap inventori global dan permintaan bermusim di beberapa rantau utama dunia - MOF | Subsidi RON95 diunjurkan sekitar RM2 bilion sebulan, manakala subsidi diesel pula kira-kira RM1.5 bilion sebulan - MOF | Malaysia mahu perkukuh kerjasama dengan kerajaan dan syarikat Jepun bagi pembangunan masa depan dalam teknologi tinggi dan AI - PM Anwar | Kerjasama tenaga Petronas-JERA bersifat strategik dan memberi manfaat jangka panjang kepada Malaysia dan Jepun - PM Anwar | 
Ad Banner

Bank Pelaburan Jangka Harga MSM 2026 Antara RM4,250-RM4,350 Dipacu Permintaan Biodiesel, Risiko El Nino

KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Bank-bank pelaburan menjangkakan harga minyak sawit mentah (MSM) berada dalam lingkungan RM4,250 hingga RM4,350 satu tan pada 2026, dipacu peningkatan permintaan biodiesel serta risiko fenomena El Nino yang lebih serius.

Dalam nota penyelidikan, Kenanga Investment Bank Bhd berkata syarikat perladangan juga dijangka berdepan kenaikan kos baja dan tenaga bermula separuh kedua 2026.

Bagaimanapun, sektor perladangan dijangka kekal sebagai penerima manfaat bersih daripada konflik Asia Barat, disokong harga MSM yang lebih tinggi selepas meningkat daripada RM4,019 satu tan pada Januari kepada RM4,568 satu tan pada April.

Ad Banner
Ad Banner

Peningkatan itu didorong pertumbuhan permintaan yang kekal kukuh sekitar tiga hingga empat peratus serta peningkatan permintaan biodiesel sawit, katanya.

Menurut Kenanga IB, jangkaan harga MSM kekal kukuh melepasi separuh pertama 2026 hingga tahun kewangan 2027 semakin meningkat berikutan potensi berlakunya fenomena El Nino.

"Mengikut sejarah, El Nino kebiasaannya tidak banyak menjejaskan hasil sawit, termasuk dalam tahap yang ‘kuat’. Namun, keadaan El Nino yang ‘sangat kuat’ boleh mengganggu proses pembungaan dan seterusnya menjejaskan hasil tandan buah segar pada musim berikutnya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Pada masa lepas, Indonesia juga kurang terjejas berbanding Malaysia ketika fenomena El Nino kategori sangat kuat berlaku, berkemungkinan disebabkan pokok yang lebih muda ketika itu serta kawasan tanaman sawit yang lebih meluas,” kata bank pelaburan itu.

Kenanga IB berkata secara keseluruhan, fenomena El Nino yang sangat kuat lazimnya menurunkan pengeluaran serantau sebanyak dua hingga sembilan peratus pada tahun berikutnya, sekali gus berpotensi menaikkan lagi harga MSM antara lima hingga 10 peratus.

Sehubungan dengan itu, bank pelaburan tersebut mengekalkan saranan ‘wajaran tinggi’ terhadap sektor berkenaan dengan unjuran harga MSM RM4,250 satu tan pada 2026 dan RM4,200 satu tan pada 2027.

Hong Leong Investment Bank Bhd pula mengekalkan unjuran harga MSM 2026 pada RM4,350 satu tan, manakala unjuran jangka panjang kekal pada RM4,200 satu tan mulai 2027.

“Kami mengekalkan pandangan ‘wajaran tinggi’ terhadap sektor ini, disokong kekuatan harga MSM dalam tempoh terdekat susulan harga minyak mentah yang tinggi.

“Bagaimanapun, kami berpandangan kitaran kenaikan semasa mungkin bersifat sementara, dengan risiko jangka sederhana berpunca daripada pelarasan bekalan minyak sayuran pesaing,” katanya.

-- BERNAMA