BERITA TERKINI   Tanggungan subsidi kerajaan bagi RON95 dan diesel berdasarkan harga pasaran semasa masih diunjurkan tinggi, iaitu RM3.5 bilion sebulan - MOF | Pasaran petroleum global pamer trend lebih stabil namun masih dipengaruhi ketidaktentuan bekalan fizikal, tahap inventori global dan permintaan bermusim di beberapa rantau utama dunia - MOF | Subsidi RON95 diunjurkan sekitar RM2 bilion sebulan, manakala subsidi diesel pula kira-kira RM1.5 bilion sebulan - MOF | Malaysia mahu perkukuh kerjasama dengan kerajaan dan syarikat Jepun bagi pembangunan masa depan dalam teknologi tinggi dan AI - PM Anwar | Kerjasama tenaga Petronas-JERA bersifat strategik dan memberi manfaat jangka panjang kepada Malaysia dan Jepun - PM Anwar | 
Ad Banner

Rusia Tekankan Kerjasama Dengan Negara-negara Islam

Daripada Nurunnasihah Ahmad Rashid

KAZAN (Rusia), 15 Mei (Bernama) -- Rusia menekankan komitmen untuk meneruskan kerjasama yang sedang dijalinkan dengan negara Islam dalam pelbagai sektor termasuk tenaga, industri, teknologi maklumat, pembinaan, pertanian, kewangan, pendidikan, penjagaan kesihatan dan pelancongan.

Dalam ucapan Presiden Rusia Vladimir Putin, yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri Marat Khusnullin pada mesyuarat tahunan Kumpulan Visi Strategik “Rusia-Dunia Islam,” beliau berkata Rusia kekal komited untuk memperluas hubungan persahabatan dan kerjasama yang saling menguntungkan dengan negara Islam.

Ad Banner
Ad Banner

Mesyuarat itu diadakan bersempena Forum Ekonomi Antarabangsa ke-17 Rusia-Dunia Islam: KazanForum 2026, yang berlangsung di sini.

Menurut Putin, forum di Kazan itu menghimpunkan ahli politik, pemimpin perniagaan, sarjana dan pakar dari Rusia dan luar negara untuk membincangkan kerjasama ekonomi, kemanusiaan dan kerohanian antara Rusia dan dunia Islam.

Beliau berkata kerjasama sedemikian adalah berasaskan nilai bersama, penghormatan terhadap kepelbagaian budaya dan tamadun serta komitmen terhadap dialog dan kerjasama demi masa depan yang stabil dan makmur.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Selama berabad-abad, wakil daripada pelbagai agama, etnik dan bangsa telah hidup bersama di negara kami dan masing-masing mengekalkan identiti dan tradisi unik mereka yang tersendiri.

“Pemilihan Republik Tatarstan sebagai lokasi forum ini diadakan mempunyai makna simbolik, iaitu wilayah Rusia yang sedang berkembang pesat, dengan tradisi keharmonian antara etnik terus dipelihara dengan baik,” katanya.

Menurutnya Islam diamalkan secara meluas di Rusia, dengan jutaan umat Islam di negara itu terus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara, sains, budaya dan sektor sosial.

Rusia kini menyertai Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) sebagai negara pemerhati manakala Kazan dinamakan sebagai Ibu Kota Kebudayaan Dunia Islam bagi 2026.

Forum Kazan 2026 yang diadakan dari 12 hingga 16 Mei adalah platform untuk memperkukuh hubungan perdagangan, ekonomi, saintifik, teknikal, sosial dan budaya antara Rusia dan negara-negara OIC.

Sementara itu, Rais (Ketua) Republik Tatarstan, Rustam Minnikhanov berkata dunia sedang mengalami peralihan ke arah susunan multipolar sekali gus mendorong Rusia dan negara-negara Islam untuk memperkukuh kerjasama merentasi sektor ekonomi, budaya dan kemanusiaan.

Beliau berkata hubungan antara Rusia dan negara anggota OIC menjadi semakin membina dan menyeluruh sejak beberapa tahun lepas, meliputi bidang seperti pembangunan ekonomi, keselamatan, pertukaran budaya dan dialog antara agama.

Minnikhanov yang juga pengerusi mesyuarat Kumpulan Visi Strategik Rusia-Dunia Islam turut mengetengahkan inisiatif “Greater Eurasian Partnership” yang dicadangkan Putin, yang bertujuan mengintegrasikan kerangka kerjasama melibatkan Kesatuan Ekonomi Eurasia (EAEU), BRICS, Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO), Inisiatif Jalur dan Laluan China dan negara anggota OIC.

Beliau berkata inisiatif itu bertujuan untuk menyelaraskan kepentingan strategik dan memperkukuh infrastruktur dan integrasi perdagangan mengatasi kekangan institusi.

Menurut Minnikhanov, penyertaan wakil daripada lebih 100 negara di KazanForum mencerminkan penglibatan antarabangsa yang berterusan dengan Rusia walaupun mengalami cabaran geopolitik semasa.

-- BERNAMA