BERITA TERKINI   Tanggungan subsidi kerajaan bagi RON95 dan diesel berdasarkan harga pasaran semasa masih diunjurkan tinggi, iaitu RM3.5 bilion sebulan - MOF | Pasaran petroleum global pamer trend lebih stabil namun masih dipengaruhi ketidaktentuan bekalan fizikal, tahap inventori global dan permintaan bermusim di beberapa rantau utama dunia - MOF | Subsidi RON95 diunjurkan sekitar RM2 bilion sebulan, manakala subsidi diesel pula kira-kira RM1.5 bilion sebulan - MOF | Malaysia mahu perkukuh kerjasama dengan kerajaan dan syarikat Jepun bagi pembangunan masa depan dalam teknologi tinggi dan AI - PM Anwar | Kerjasama tenaga Petronas-JERA bersifat strategik dan memberi manfaat jangka panjang kepada Malaysia dan Jepun - PM Anwar | 
Ad Banner

BDB Infra Peroleh Kontrak Penyelenggaraan Jalan Negeri Bernilai RM251.65 Juta

ALOR SETAR, 20 Mei (Bernama) -- BDB Infra Sdn Bhd (BDB Infra) yang juga anak syarikat milik penuh Bina Darulaman Bhd (BDB) memperoleh kontrak penyelenggaraan jalan negeri bernilai RM251.65 juta daripada kerajaan Kedah.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB Che Abdul Khalid Md Din berkata kontrak bagi tempoh lima tahun itu melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan jalan di Zon 1 yang merangkumi daerah Kota Setar, Kubang Pasu, Padang Terap dan Pokok Sena.

“Penganugerahan kontrak itu mencerminkan keyakinan berterusan kerajaan negeri Kedah terhadap keupayaan dan kredibiliti BDB Infra dalam melaksanakan projek penyelenggaraan infrastruktur secara cekap, berkualiti dan konsisten.

Ad Banner
Ad Banner

“Penganugerahan itu merupakan satu pengiktirafan bermakna kepada Kumpulan BDB dan BDB Infra atas pengalaman serta rekod prestasi kami dalam sektor penyelenggaraan dan pembinaan jalan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata BDB komited memastikan projek itu dilaksanakan mengikut spesifikasi dan standard ditetapkan demi menjamin keselamatan serta keselesaan pengguna jalan raya di negeri ini.

“Kontrak tersebut dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan prestasi kewangan Kumpulan BDB bagi tempoh kewangan 2026 hingga 2031, sekali gus memperkukuh keyakinan pemegang taruh dan pelabur terhadap prospek pertumbuhan syarikat.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Projek itu turut dijangka memberi impak positif kepada pembangunan infrastruktur negeri serta memacu aktiviti ekonomi setempat melalui peluang pekerjaan dan penglibatan rantaian bekalan tempatan,” katanya. 

BDB Infra merupakan kontraktor Gred G7 yang mempunyai pengalaman dan rekod kerja yang cemerlang lebih 50 tahun dalam pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembinaan jalan raya serta operasi kuari di utara tanah air.

Bagi tempoh 10 tahun sejak 2015, BDB Infra telah menerima kontrak penyelenggaraan jalan daripada kerajaan negeri Kedah secara berterusan merangkumi beberapa daerah di negeri ini.

-- BERNAMA