BERITA TERKINI   PRN NS: Semua pihak harus berkempen secara sihat berasaskan idea dan fakta, bukan fitnah atau perbuatan khianat - Fahmi | PM Singapura Wong umum perubahan Kabinet dan pelantikan politik lain - PMO | Malaysia tetap pertahan kedaulatan negara sekat kemasukan warga Israel, tidak tunduk gertakan wakil kongres AS- PM Anwar | Pengambilan pelajar matrikulasi tanpa kira kaum, latar belakang sosioekonomi penting bagi pastikan akses pendidikan lebih adil - PM | Dewan Negara lulus Rang Undang-Undang Perlindungan Saksi (Pindaan) 2026 | 

Pelabuhan Pulau Pinang Catat Pertumbuhan Stabil Pada Suku Pertama

GEORGE TOWN, 28 Mei (Bernama) – Pelabuhan Pulau Pinang merekodkan pertumbuhan stabil merentasi beberapa petunjuk operasi utama pada suku pertama 2026, mencerminkan momentum positif yang berterusan dalam pengendalian kargo, aktiviti kapal persiaran dan perkhidmatan feri.

Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) Datuk Yeoh Soon Hin berkata pelabuhan itu mengendalikan 343,036 unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) dari Januari hingga Mac tahun ini iaitu peningkatan sebanyak 4.88 peratus berbanding 327,078 TEU dalam tempoh yang sama tahun lepas.

“Jumlah kontena bagi import dan eksport masing-masing mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.45 peratus dan 5.92 peratus sekali gus menunjukkan kemeriahan yang berterusan dalam aktiviti perdagangan serantau.

Ad Banner

“Peningkatan keseluruhan dalam jumlah pengendalian kontena juga mencerminkan keyakinan industri terhadap kecekapan operasi dan hubungan jaringan pelabuhan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengenai kargo konvensional, Yeoh menyatakan keseluruhan jumlah pengendalian kargo bagi tiga bulan pertama tahun ini mencecah 8.55 million tan berat muatan (FWT), melonjak 17.27 peratus daripada 7.29 juta FWT yang direkodkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Beliau berkata pertumbuhan itu dipacu terutamanya oleh peningkatan dalam kargo am, kargo berkontena dan pukal cecair dengan jumlah pengendalian kargo am melonjak 52.61 peratus manakala kargo berkontena dan pukal cecair masing-masing meningkat 19.32 peratus dan 15.86 peratus.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Mengenai operasi kapal persiaran, Yeoh berkata seramai 372,903 penumpang melalui Terminal Kapal Persiaran Jeti Swettenham (SPCT) di sini sepanjang suku pertama yang menunjukkan peningkatan sebanyak 39.55 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Beliau berkata jumlah persinggahan kapal persiaran meningkat secara ketara kepada 201, mencatatkan lonjakan sebanyak 336.96 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Pertumbuhan berterusan dalam aktiviti kapal persiaran ini memberi kesan limpahan positif kepada ekonomi tempatan terutamanya memberi manfaat kepada sektor pelancongan, peruncitan, makanan dan minuman serta pengangkutan.

Yeoh turut menyatakan perkhidmatan feri merekodkan pertumbuhan positif dengan keseluruhan pergerakan penumpang meningkat 9.36 peratus tahun ke tahun kepada 810,053 penumpang pada suku pertama.

Walaupun berdepan dengan ketidaktentuan yang berterusan dalam persekitaran ekonomi dan perkapalan global, beliau berkata SPPP akan terus memantau dengan rapat perkembangan antarabangsa selain bekerjasama dengan pihak berkepentingan yang berkaitan bagi memastikan keselamatan pelabuhan serta kestabilan operasi.

-- BERNAMA