BERITA TERKINI   PRN Johor: Semua 64 pusat mengundi awal dibuka serentak 8 pagi ini | 

Kementerian sedia beri khidmat teknikal bantu kilang getah MARDEC

KUALA LUMPUR, 29 Jun  -- Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi bersedia memberi khidmat teknikal dan membantu pihak pengurusan kilang getah MARDEC Processing Sdn Bhd untuk membuat kajian menyeluruh bagi mengenal pasti masalah operasi dan punca menyebabkan kilang itu mengalami kerugian dan tidak dapat meneruskan operasi.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata langkah itu yang dilakukan menerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM) bertujuan memastikan kilang tersebut dapat meningkatkan daya saing dan terus beroperasi untuk memproses getah yang dihasilkan di Hulu Terengganu dan di seluruh negeri Terengganu.

Katanya LGM sebagai agensi di bawah kementerian bertanggungjawab kepada kawal selia, operasi dan khidmat teknikal kepada sektor pemprosesan getah melihat cadangan penutupan kilang yang terletak di Kuala Berang itu akan memberi impak kepada aktiviti pengeluaran dan penjualan getah pekebun kecil dan menjejaskan pendapatan mereka.

Ad Banner

"Saya mengambil perhatian kepada berita cadangan penutupan operasi kilang getah MARDEC Processing Sdn Bhd yang mempunyai kapasiti memproses lebih 2,000 tan sebulan.

"Cadangan itu akan memberi impak kepada aktivti pengeluaran dan pemprosesan getah melibatkan pekebun-pekebun kecil di kawasan sekitar Hulu Terengganu selain menyebabkan lebih 110 orang pekerja kilang hilang pekerjaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata rekod LGM menunjukkan bahawa terdapat lebih 2,700 pekebun kecil di Hulu Terengganu dan cadangan penutupan itu akan mempunyai kesan secara tidak langsung kepada 19,350 pekebun kecil di seluruh negeri Terengganu.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

-- BERNAMA