Syarikat pemula teknologi tempatan sasar tembusi pasaran global
Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani
KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) -- Doluvo Sdn Bhd, pemilik jenama Popsmalaya, aiskrim buatan sendiri berasaskan buah-buahan menyasarkan eksport yang tinggi untuk produknya ke 30 negara tahun depan berbanding 15 negara pada masa ini.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Doluvo Rose Yasmin Abd Karim berkata, produk syarikat itu telah bertapak di Perancis, Jerman serta negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC), dan berharap untuk mengembangkan sayapnya ke lebih banyak negara Eropah dan pasaran Afrika.
Beliau berkata syarikat 100 peratus milik Bumiputera itu yang memulakan operasi di rumah pada 2016 kini mempunyai kapasiti dan keupayaan untuk mengembangkan penawaran produknya, termasuk memperkenalkan perisa baharu dan menambah lebih banyak kandungan yang berfungsi seperti probiotik dan protein tinggi, terutamanya untuk pasaran negara maju.
"Kami berterima kasih kepada Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) kerana banyak membantu kami dan memilih syarikat sebagai penerima Dana Pembangunan Teknologi Halal.
"MTDC menaruh kepercayaan dan menyokong inovasi kami dari segi kapasiti pengeluaran, bantuan automasi, penjenamaan dan banyak lagi agar kami terus menghasilkan produk yang konsisten, berkualiti dan berevolusi.
"Sasaran kami untuk tahun depan ialah menjadi pilihan utama 'freezer popsicle' di Amerika Syarikat (AS) menerusi Amazon.com," katanya kepada Bernama selepas diumumkan sebagai pemenang anugerah Usahawan Wanita sempena Sambutan Ulang Tahun MTDC ke-30, semalam.
Beliau percaya dengan memilih pasaran AS yang kompetitif, ia secara langsung memberi tekanan kepada syarikat untuk lebih maju dan berdaya saing.
Katanya idea perniagaan Popsmalaya tercetus ketika memikirkan penyelesaikan masalah logistik beku yang menelan kos yang amat tinggi.
Bermulanya di situ, beliau bersama rakan kongsinya menginovasikan aiskrim yang boleh disimpan pada suhu bilik, bebas bahan pengawet dan pewarna serta diperbuat daripada buah-buahan segar yang sebenar.
Sementara itu, pemenang anugerah 'Rising Star' MTDC iaitu Longe Medikal Sdn Bhd menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya Muhammad Izzat Ahmad Sabri berkata, teknologi perubatan yang dibangunkan syarikat itu seperti ‘pre-planning surgery’ kini digunakan oleh hospital-hospital di bawah Kementerian Kesihatan (KKM), swasta dan juga persatuan perubatan.
Muhammad Izzat berkata pencapaian itu membuktikan potensi syarikat pembangunan teknologi tempatan dalam bidang perubatan, sekali gus diyakini mampu menembusi pasaran global.
“Kami benar-benar berkembang dan bersyukur kerana bekerjasama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) dan MTDC dari segi bimbingan, pembiayaan dan pengkomersialan.
“MTDC juga telah memperkenalkan kami kepada Kementerian Kesihatan dan dari situ kami telah menandatangani kontrak dengan beberapa syarikat besar yang ingin menggunakan teknologi kami. (Oleh itu), kami berharap dapat mengukuhkan lagi kewujudan kami dalam pasaran ASEAN," katanya.
Muhammad Izzat berkata syarikat itu akan terus meningkatkan perniagaannya dan menyasarkan untuk disenaraikan di Bursa Malaysia dalam tempoh 10-15 tahun akan datang.
-- BERNAMA