BERITA TERKINI   PRN Melaka: Sebanyak 71.77 peratus atau 493,573 pengundi tunai tanggungjawab - Pengerusi SPR | Keputusan rasmi PRN Melaka: BN menang 21 kerusi, PH 4, PN 3 - Pengerusi SPR | PRN Melaka: Calon PN Muhammad Ridzuan Mohd Sarif menang kerusi DUN Bukit Katil - SPR | PRN Melaka: Calon PH Allex Seah Shoo Chin pertahan kerusi DUN Kesidang - SPR | PRN Melaka: Calon BN Mohd Noor Helmy Abdul Halem pertahan kerusi DUN Duyong - SPR | 

Kerajaan Komited Kurangkan Defisit Fiskal Negara - PM Anwar

PUTRAJAYA, 20 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan komited untuk mengurangkan defisit fiskal negara secara konsisten dalam memastikan ekonomi lebih mampan dan keyakinan pelabur tidak terjejas.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata sejak memegang tampuk kepimpinan pada 2022, defisit fiskal yang mencecah 5.5 peratus sebelum ini telah berkurangan secara konsisten kepada 4.1 peratus pada 2024 dan unjuran sebanyak 3.8 peratus pada tahun ini.

“Ada orang tanya mengapa nak turun sangat (defisit). Biarlah, kita boleh hulur kepada rakyat dan kalau tidak begini, keyakinan (pelabur) tidak ada.

Ad Banner
Ad Banner

“Bagi saya, yang pertama ialah tanggungjawab kepimpinan dan pengurusan ekonomi untuk melaksanakan dasar yang kita yakin baik. Itu yang penting.

“Keduanya, dengan ada keyakinan, (boleh) menyelesaikan banyak masalah soal hasil negara, peluang pekerjaan dan pembangunan keseluruhannya,” kata beliau pada perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Anwar berkata jumlah hutang juga kian menurun daripada RM100 bilion pada 2022 kepada RM85 bilion pada 2024 dan unjuran sebanyak RM80 bilion pada tahun ini.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Ini maknanya, sejak kita ambil alih, kita telah menurunkan hutang sebanyak RM20 bilion,” kata beliau.

Dalam pada itu, Anwar turut menolak dakwaan bahawa kerajaan terlalu memberi penekanan terhadap isu pengurangan hutang sehingga menjejaskan kebajikan rakyat.

Beliau berkata penyelesaian hutang negara tidak boleh dilakukan secara mendadak kerana ia memerlukan masa dan kesabaran.

-- BERNAMA