BERITA TERKINI   Saifuddin Nasution akan menjalankan tugas Timbalan Presiden PKR sementara- Fahmi | MPP PKR setuju Nurul Izzah cuti sementara jawatan Timbalan Presiden selepas Kongres Nasional 2026 - Fahmi | Kerajaan mulakan semakan tamat tempoh duti anti-lambakan ke atas import gegelung keluli pra-cat, dicat atau bersalut warna dari China dan Vietnam - MITI | Pengenalan fokus tambahan itu selaras dengan RMK13, tingkat kompleksiti ekonomi, perkukuh industri berpertumbuhan tinggi serta hasilkan lebih banyak produk dan perkhidmatan Made by Malaysia - Akmal Nasir | KL20 2026 akan berlangsung di Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur dengan kerjasama rakan kolaborasi strategik utama - Akmal Nasir | 

Aset Rizab Rasmi Malaysia US$119.59 Bilion Pada Akhir Mei 2025 - BNM

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Aset rizab rasmi Malaysia berjumlah US$119.59 bilion (US$1= RM4.21) pada akhir Mei 2025 manakala aset mata wang asing lain berjumlah US$955.2 juta, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Bank pusat berkata butiran terperinci rizab antarabangsa memberikan maklumat akan datang mengenai saiz, komposisi dan kebolehgunaan rizab, dan aset mata wang asing lain mengikut format Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Ia turut memberikan memberikan maklumat akan datang mengenai jangkaan dan prospek aliran masuk dan keluar pertukaran asing bagi Kerajaan Persekutuan dan BNM untuk tempoh 12 bulan akan datang.

Ad Banner

“Secara keseluruhan, butiran terperinci rizab antarabangsa mengikut format SDDS IMF menunjukkan rizab antarabangsa Malaysia pada akhir Mei 2025 tetap boleh guna,” kata bank pusat dalam kenyataan hari ini.

BNM berkata bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing, antaranya termasuk pembayaran balik berjadual peminjaman luar negeri oleh kerajaan dan kematangan Bil Antara Bank BNM dalam mata wang asing berjumlah US$13.43 bilion.

“Kedudukan jualan hadapan bersih adalah sebanyak US$24.18 bilion, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang,” katanya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, data ini tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek, kata BNM sambil memaklumkan unjuran aliran masuk mata wang asing berjumlah US$2.63 bilion untuk tempoh 12 bulan akan datang.

Bank pusat berkata satu-satunya aliran keluar bersih jangka pendek kontingensi bagi aset mata wang asing ialah jaminan kerajaan terhadap hutang luar negeri dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah US$419.0 juta.

“Aliran ini tidak mengandungi sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, serta tidak mempunyai kemudahan kredit dan kemudahan kredit tanpa syarat yang belum digunakan yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain.

“BNM juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit,” katanya.

-- BERNAMA