BERITA TERKINI   153 laporan polis diterima setakat 3 petang berhubung kenyataan Puad Zarkashi - Ketua Polis Johor | Singapura naikkan bayaran masuk teksi Malaysia ke S$15 setiap perjalanan bermula 1 Jan, 2027 - LTA  | Malaysia melepasi kapasiti tenaga boleh baharu 13.3GW pada 2025, dipacu oleh pertumbuhan pesat tenaga solar - TPM Fadillah | Malaysia menyasarkan 118 juta liter air terawat sehari menjelang 2030 untuk kegunaan industri, meningkat daripada pengeluaran semasa 48.5 juta liter sehari - TPM Fadillah | 

Data Kredit Dipercayai Bantu Perluas Akses Pembiayaan PMKS - Amir Hamzah

PETALING JAYA, 9 Jun (Bernama) -- Data kredit yang dipercayai dan mudah diakses adalah penting untuk meningkatkan akses kepada pembiayaan bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang dapat mengurangkan jurang maklumat dan membolehkan peruntukan kredit yang lebih cekap, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata data kredit yang lebih baik membolehkan institusi pembiayaan menilai profil risiko dengan lebih tepat, membolehkan PMKS yang berdaya maju mendapat pembiayaan dengan syarat yang lebih baik.

“Justeru, keterangkuman kewangan bukan hanya mengenai memperluas akses kepada pembiayaan. Ia bertujuan memastikan akses tersebut mampan, berasaskan data serta selaras dengan amalan dan prinsip pengurusan risiko yang kukuh,” katanya dalam ucapan pada CTOS SME Biz Day 2026 di sini hari ini.

Ad Banner

Beliau berkata walaupun dasar kerajaan memberikan hala tuju, pelaksanaan yang berkesan bergantung pada ekosistem yang lebih luas terdiri daripada institusi kewangan, penyedia infrastruktur kredit, firma teknologi dan rangkaian khidmat nasihat.

Amir Hamzah berkata komitmen kerajaan terhadap PMKS adalah bersifat jangka panjang dan berterusan, berteraskan keutamaan pembangunan yang lebih luas berbanding kitaran ekonomi jangka pendek.

“Pendekatan kami kekal tertumpu kepada tiga bidang utama. Pertama, memperluas akses kewangan melalui kemudahan dan mekanisme jaminan yang menyokong perniagaan berdaya maju.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Kedua, meningkatkan produktiviti dan daya saing melalui menerima pakai digital dan pembangunan keupayaan. Ketiga, memperkukuh sistem fiskal dan kawal selia untuk meningkatkan kecekapan, ketelusan dan kemampanan,” katanya.

Amir Hamzah berkata kerajaan terus mengamalkan pendekatan yang berhemah dan pragmatik, mengimbangi sokongan untuk pertumbuhan ekonomi dengan tanggungjawab fiskal bagi memastikan intervensi dasar kekal berkesan dan mampan.

“Sesi libat urus kekal sebagai keutamaan. Platform seperti CTOS SME Biz Day 2026 memastikan dasar kekal berasaskan realiti yang dihadapi perniagaan dan maklum balas diambil kira dalam pelaksanaan,” katanya.

CTOS SME Biz Day 2026 merupakan acara utama yang menghimpunkan PMKS, usahawan, pemilik perniagaan, penggubal dasar, institusi kewangan dan peneraju industri untuk menangani cabaran dan peluang yang dihadapi sektor PMKS Malaysia.

Program sehari itu menampilkan persidangan utama, pameran perniagaan, sesi rangkaian dan Pavilion Pembiayaan khusus untuk menghubungkan PMKS dengan bank, agensi kerajaan, pembiaya alternatif dan penyedia khidmat nasihat perniagaan.

-- BERNAMA