BERITA TERKINI   Bekas Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Abdul Rahman Hamid meninggal dunia hari ini - Presiden PVRTM | Ewon Benedick kekal Presiden UPKO bagi penggal 2026-2029 | Wong Chen umum letak jawatan Ahli Parlimen Subang berkuat kuasa hari ini | PM Anwar kini jalani rawatan fisioterapi, pastikan proses pemulihan berjalan baik - Ketua Pasukan Perubatan PM | PM Anwar selamat jalani pembedahan laparoskopi secara elektif, rawat hernia perut - Ketua Pasukan Perubatan PM | 

Pengiktirafan Belanda Terhadap MSPO Perkukuh Kesiapsiagaan Sawit Hadapi EUDR - Noraini

PUTRAJAYA, 3 Julai (Bernama) -- Penerimaan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) oleh Netherlands Food and Consumer Product Safety Authority (NVWA) sebagai Private Control System di bawah kerangka pelaksanaan Peraturan Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR) mengukuhkan kesiapsiagaan industri sawit negara dalam memenuhi keperluan pasaran Kesatuan Eropah.

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata melalui penilaian yang dilaksanakan, MSPO diterima sebagai sistem jaminan pihak ketiga yang boleh menyokong penyeliaan berkaitan pematuhan EUDR.

Beliau berkata pengiktirafan itu memperkukuh kedudukan MSPO sebagai standard nasional yang mempunyai struktur pensijilan, audit dan kawal selia yang tersusun.

Ad Banner

“Penerimaan MSPO sebagai Private Control System membuka ruang kepada penghantaran minyak sawit Malaysia yang mempunyai pensijilan MSPO untuk dipertimbangkan di bawah prosedur penyeliaan yang bersesuaian oleh NVWA, tertakluk kepada keperluan yang ditetapkan di bawah Peraturan Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR),” menurut beliau.

Noraini berkata Belanda memainkan peranan penting dalam perdagangan minyak sawit ke pasaran Eropah, khususnya melalui Rotterdam sebagai antara pintu masuk utama komoditi pertanian ke rantau itu.

Tambah beliau, perkembangan tersebut hadir pada masa yang tepat memandangkan EUDR akan mula dikuatkuasakan kepada operator besar dan sederhana pada 30 Dis, 2026, diikuti operator kecil pada Jun 2027.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Pengiktirafan itu turut menyokong kesiapsiagaan industri sawit negara dalam memenuhi keperluan kelestarian, kebolehkesanan dan pematuhan rantaian bekalan di pasaran antarabangsa, termasuk melalui pelaksanaan MSPO yang merangkumi pekebun kecil,” katanya.

Kementerian Perladangan dan Komoditi akan terus memperkukuh pelaksanaan MSPO bersama agensi berkaitan, badan pensijilan, juruaudit, pemain industri serta rakan strategik antarabangsa.

“Tumpuan akan diberikan kepada aspek pematuhan, audit, kebolehkesanan serta bimbingan kepada pekebun kecil dan pemain industri bagi menyokong kesiapsiagaan sektor sawit negara terhadap pelaksanaan EUDR,” katanya.

Kementerian turut merakamkan penghargaan kepada pihak MSPO, Lembaga Pemegang Amanah, badan pensijilan, juruaudit, pemain industri, pekebun kecil serta semua pihak yang telah bersama-sama memperkukuh kedudukan MSPO sebagai standard nasional yang inklusif dan berwibawa.

“Penerimaan ini memperkukuh usaha Malaysia membangunkan industri sawit yang mampan, bertanggungjawab dan berdaya saing, selaras dengan keperluan pasaran antarabangsa serta kepentingan eksport komoditi negara,” katanya.

-- BERNAMA