Ringgit Dibuka Tinggi Berbanding Mata Wang Utama, Rendah Berbanding Dolar AS
Oleh K.Naveen Prabu
KUALA LUMPUR, 8 Julai (Rabu) -- Ringgit dibuka tinggi berbanding mata wang utama namun menyusut berbanding dolar AS pada Rabu berikutan permintaan terhadap unit negara maju itu meningkat dalam keadaan ketegangan geopolitik yang semakin memuncak di Asia Barat.
Pada 8 pagi, unit tempatan susut kepada 4.0745/0830 berbanding dolar AS daripada 4.0685/0735 semasa ditutup pada Selasa.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pasaran kewangan global dijangka terus berada dalam sentimen mengelakkan risiko susulan serangan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) terhadap tentera Iran dan keputusan Jabatan Perbendaharaan AS untuk menarik balik pengecualian berkaitan urus niaga penjualan minyak Iran.
"Keadaan ini menunjukkan gencatan senjata masih tidak stabil sekali gus mendorong harga minyak mentah Brent melonjak 6.13 peratus kepada US$76.40 setong," katanya kepada Bernama.
Pada pembukaan dagangan, unit tempatan mengukuh berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5092/5146 daripada 2.5179/5221 ketika ditutup pada Selasa, mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.4378/4492 daripada 5.4668/4755 dan naik berbanding euro kepada 4.6453/6550 daripada 4.6696/6771.
Mata wang tempatan turut diniagakan lebih tinggi berbanding kebanyakan mata wang serantau.
Ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1495/1563 daripada 3.1593/1648 semasa ditutup semalam, meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 226.6/227.1 daripada 226.8/227.2 dan mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.1965/2278 daripada 12.2545/2807.
Bagaimanapun, unit tempatan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.63/6.65.
-- BERNAMA