OSK Property Lancar TAMU @ OSK Mori Park, Pacu Pembangunan TOD Shah Alam

SHAH ALAM, 8 Julai (Bernama) -- OSK Property hari ini melancarkan TAMU @ OSK Mori Park, fasa ketiga pembangunan berorientasikan transit (TOD) berkonsep induk syarikat itu di Seksyen 13, sekali gus mengukuhkan pemangkin pertumbuhan bandar Shah Alam.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Chu Wai Lune berkata TAMU dibangunkan di atas tapak seluas 1.55 hektar dalam pelan induk OSK Mori Park berkeluasan 6.18 hektar, menawarkan apartmen servis bermula daripada RM250,000 seunit.

Beliau berkata pembangunan itu merangkumi 946 unit apartmen servis, 175 unit suite istimewa serta 21 unit runcit, termasuk kemudahan pandu lalu (drive-thru), bagi menyokong ekosistem hidup, bekerja, beriadah yang bersepadu.

Ad Banner

“TAMU menampilkan konsep inspirasi Mediterranean dengan susun atur praktikal bersaiz antara 550 hingga 958 kaki persegi, bagi memenuhi keperluan pembeli rumah pertama, golongan profesional muda, keluarga yang berkembang serta isi rumah pelbagai generasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Chu berkata projek itu terletak kira-kira 700 meter jarak berjalan kaki dari Stesen LRT3 Stadium Shah Alam dan mempunyai akses terus ke lebuh raya utama termasuk Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE), Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Koridor Guthrie, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) serta Lebuhraya Kemuning–Shah Alam (LKSA).

Kemudahan berhampiran merangkumi MSU Medical Centre, AEON Mall Shah Alam, Giant Hypermarket, Stadium Shah Alam dan Management & Science University.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Menurut Chu, nama “TAMU” melambangkan aspirasi untuk mewujudkan komuniti yang mesra dan inklusif, sambil mengekalkan estetika bandar Mediterranean yang bersifat malar segar.

“Setiap aspek pembangunan, daripada seni bina dan landskap hingga kemudahan gaya hidup, direka dengan teliti bagi menawarkan gaya hidup bandar yang santai namun praktikal,” katanya.

Beliau berkata TAMU dibangunkan susulan sambutan pasaran yang kukuh terhadap fasa terdahulu projek berkenaan, dengan ALIA mencatatkan kadar jualan 98 peratus selepas pelancarannya pada Julai 2024, manakala BAYU mencapai kadar pengambilan 75 peratus selepas diperkenalkan pada Mei tahun lalu.

Fasa terbaharu itu turut menawarkan 43 kemudahan gaya hidup, termasuk kolam renang 50 meter, gelanggang pickleball, gimnasium, Glass House di atas bumbung, ruang perhimpunan berinspirasikan Spanish Steps, studio gimnasium wanita serta ruang santai hiburan.

Selain apartmen servis, TAMU menampilkan suite istimewa bersaiz antara 550 hingga 926 kaki persegi yang direka untuk kegunaan kediaman dan perniagaan secara fleksibel, lengkap dengan akses komersial khusus serta unit terpilih dengan kemudahan parkir terus di hadapan.

Chu berkata keseluruhan pembangunan berteraskan pelan induk mesra pejalan kaki, dengan laluan pejalan kaki saling berhubung yang mengintegrasikan komponen kediaman, runcit dan komersial menerusi sebuah Boulevard Runcit Gaya Hidup pusat.

“Sambutan memberangsangkan terhadap ALIA dan BAYU mengukuhkan keyakinan kami terhadap potensi jangka panjang Seksyen 13.

“Menerusi TAMU, kami memperkenalkan satu lagi fasa yang memberi peluang kepada pembeli untuk menjadi sebahagian daripada fasa pertumbuhan seterusnya Shah Alam,” katanya.

OSK Property menjangkakan permintaan terhadap pembangunan itu akan terus dipacu oleh Laluan LRT3, pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam, penaiktarafan infrastruktur serta inisiatif peremajaan bandar yang berterusan.

Dijadualkan siap pada separuh kedua 2030, TAMU akan dipamerkan menerusi pratonton eksklusif pada 11 dan 12 Julai di Galeri Jualan OSK Mori Park.

“Pembeli berpotensi dijemput mengunjungi galeri jualan untuk menerokai susun atur unit, konsep gaya hidup, kemudahan serta tawaran istimewa TAMU,” katanya.

Bagi meraikan pelancaran itu, pratonton berkenaan akan menampilkan Kempen Citrus Harvest berinspirasikan ladang sitrus Mediterranean, dengan pembeli berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah eksklusif.

Untuk maklumat lanjut, layari moripark.com.my atau hubungi 018-3838 586.

-- BERNAMA