Masa Depan Sektor Kewangan Perlu Keseimbangan Antara Manusia Dan AI - Amir Hamzah

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Seiring dengan penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang semakin meluas dalam sektor kewangan, masa depan industri itu memerlukan keseimbangan antara pertimbangan manusia dan kecerdasan mesin berteraskan kepimpinan beretika, kebertanggungjawaban dan budaya inovasi yang bertanggungjawab.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata sistem perbankan yang berdaya tahan bukan sahaja bergantung pada peraturan yang baik, kekuatan modal dan keupayaan teknologi, malah pada modal insan.

“Institusi yang berjaya bukan sahaja mereka mempunyai sistem termaju, malah disokong oleh tenaga kerja yang mampu mengurus kerumitan, dapat membuat pertimbangan dengan baik dan mengambil tindakan dengan integriti.

Ad Banner

“Pelaburan dalam pembangunan bakat perlu dilihat sebagai sebahagian daripada infrastruktur teras sektor itu.

“Sistem perbankan tidak akan bersedia menghadapi masa depan jika modal insannya tidak bersedia,” katanya dalam ucapan pada Persidangan AICB Nexus 2026 di sini hari ini.

Beliau berkata melalui piawaian profesional, kelayakan, pembangunan kepimpinan dan platform industrinya, AICB menyediakan saluran untuk membangunkan keupayaan itu secara meluas, menyokong tenaga kerja sektor perbankan yang berkeupayaan, dapat menyesuaikan diri dan diyakini.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Kerajaan, pengawal selia, industri dan badan profesional, masing-masing mempunyai peranan. Tiada siapa yang boleh berjaya secara bersendirian.

“Namun, nilai yang menghubungkan kesemuanya ialah nilai yang sentiasa menjadi teras kepada amalan perbankan terbaik: perkhidmatan kepada orang ramai, dilaksanakan dengan integriti,” katanya.

-- BERNAMA