Masa Depan Sektor Kewangan Ditentukan Kepercayaan, Bukan Teknologi - Gabenor BNM
KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Masa depan sektor kewangan tidak akan ditentukan oleh kepantasan atau kecanggihan teknologi, sebaliknya sejauh mana teknologi itu mampu memperkukuh kepercayaan, memperluas peluang serta memberi manfaat kepada masyarakat.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata pendekatannya adalah jelas, iaitu menggalakkan inovasi, mengekalkan kepercayaan dan memastikan kemajuan yang dicapai memberi kebaikan kepada masyarakat.
"Kami tidak menyekat inovasi terlalu awal atau membiarkannya berkembang tanpa kawalan. Pendekatan kami berlandaskan prinsip kesepadanan, kesamarataan dan berkecuali terhadap teknologi bagi memastikan inovasi berkembang secara bertanggungjawab dan yakin," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan pada Persidangan Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) Nexus 2026 di sini hari ini.
Abdul Rasheed berkata dalam pelaksanaannya, pendekatan itu melibatkan kerjasama lebih awal dengan industri, menyediakan jangkaan kawal selia yang jelas, menyokong percubaan inovasi secara bertanggungjawab serta pelaburan dalam infrastruktur bersama yang membolehkan inovasi dilaksanakan secara meluas.
"Selain kecerdasan buatan, perkembangan lain turut mempengaruhi sektor ini. Kerangka Kewangan Terbuka kami menyediakan asas bagi perkongsian data selamat dan berasaskan persetujuan, dengan infrastruktur sokongan yang sedang dibangunkan bersama PayNet dan industri serta pelaksanaan secara berperingkat bermula 2027.
"Pada masa sama, pelan hala tuju tokenisasi aset kami sedang memasuki peringkat projek perintis melalui Hab Inovasi Aset Digital," katanya.
Kesemua perkara ini hanyalah alat untuk mencapai tujuan, bukannya matlamat utama, kata beliau sambil memaklumkan nilai sebenar perkara itu diukur berdasarkan sama ada ia mampu menambah baik kehidupan, memperkukuh daya tahan serta meningkatkan keyakinan.
“Melangkah ke hadapan, kita sedang membentuk fasa seterusnya pembangunan sektor kewangan melalui Pelan Induk Sektor Kewangan 2027 hingga 2030, yang dibangunkan dengan kerjasama erat bersama-sama industri, kerajaan dan pihak berkepentingan bagi memastikan pelan itu dibentuk berdasarkan cabaran sebenar dan seiring keperluan ekonomi yang sentiasa berubah,” katanya.
-- BERNAMA