Kerajaan MADANI Komited Pastikan Sistem Kewangan Negara Stabil, Menyebelahi Rakyat
KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Kerajaan MADANI akan terus bekerjasama rapat dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan industri perbankan untuk memastikan sistem kewangan negara kekal stabil, terangkum dan menyebelahi rakyat.
Dalam kenyataan pada Rabu, Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan seiring dengan usaha itu, industri perbankan memperkenalkan beberapa inisiatif untuk membantu pelanggan individu dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Inisiatif ini termasuklah memperkenalkan Kad Kredit Asas, pemansuhan caj RM1 bagi pengeluaran wang tunai di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) bank, serta bantuan bersasar kepada peminjam dan PMKS yang terkesan akibat ketidaktentuan ekonomi global dan konflik di Asia Barat,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan menghargai komitmen industri perbankan dalam memperluas akses kewangan yang lebih mudah, berpatutan dan bertanggungjawab.
“Dalam keadaan rakyat dan PMKS berdepan tekanan kos serta aliran tunai, institusi kewangan berperanan penting membantu pelanggan mereka dengan penyelesaian yang berhemat, tangkas dan berperikemanusiaan.
“Hatta, saya merakamkan penghargaan kepada industri perbankan negara kerana menyahut saranan kerajaan untuk mengorak langkah ke arah sistem kewangan yang lebih manusiawi,” kata beliau yang juga Menteri Kewangan.
Menurut MOF, Kad Kredit Asas akan memberi pilihan kredit yang lebih ringkas, berpatutan dan terangkum kepada rakyat yang memerlukan kemudahan untuk mengurus aliran tunai harian secara bertanggungjawab.
Tambahnya, produk itu mengutamakan kadar pembiayaan yang lebih rendah berbanding ganjaran gaya hidup dan pulangan tunai yang lazim ditawarkan oleh produk kad kredit semasa.
“Kadar pembiayaan bagi kad seumpama ini akan dihadkan pada 14 peratus setahun berbanding had tertinggi 18 peratus setahun pada masa ini.
“Had kredit juga ditetapkan pada paras lebih terkawal bagi menggalakkan penggunaan kredit secara berhemat, manakala pemegang kad kredit sedia ada boleh melaksanakan pemindahan baki kad kredit tertunggak ke akaun Kad Kredit Asas tanpa caj atau bayaran,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, sejak 1 Julai, 2026, rakyat Malaysia boleh membuat pengeluaran wang tunai di mana-mana ATM yang dikendalikan oleh bank di Malaysia tanpa dikenakan caj RM1.
MOF memaklumkan inisiatif itu melibatkan lebih 14,000 ATM di seluruh negara dan mencerminkan komitmen industri perbankan untuk memastikan perkhidmatan kewangan asas lebih mudah diakses oleh rakyat.
Bagi peminjam yang terkesan akibat krisis bekalan global dan konflik di Asia Barat, institusi perbankan turut menyediakan bantuan bersasar berdasarkan keperluan dan kedudukan aliran tunai masing-masing.
Bantuan itu termasuk penangguhan sementara bayaran balik pinjaman, pengurangan ansuran dan tempoh pinjaman yang dilanjutkan.
“Sejak akhir April 2026, bank-bank telah menerima dan memproses permohonan bagi menjadualkan dan menstrukturkan semula pinjaman melibatkan pembiayaan berjumlah lebih RM4.7 bilion kepada lebih 1,100 peminjam.
“Pembiayaan kepada sektor perusahaan kecil dan sedarhana (PKS) terus disalurkan dengan pertumbuhan pembiayaan PKS tertunggak mencatatkan 5.3 peratus pada Mei 2026,” tambah kementerian itu.
Di bawah Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS bernilai RM5 bilion, kira-kira RM1 bilion pembiayaan telah diluluskan setakat 25 Jun, 2026 kepada sekitar 1,500 peminjam PKS yang terjejas secara ketara akibat konflik di Asia Barat.
MOF menambah, industri perbankan juga komited untuk memproses permohonan dalam tempoh tujuh hari bekerja dengan kira-kira RM4 bilion baki peruntukan masih tersedia untuk sokongan lanjut.
Kementerian itu memaklumkan peminjam dan PMKS yang terkesan digalakkan menghubungi bank masing-masing lebih awal bagi mendapatkan bantuan yang bersesuaian.
Mereka juga boleh mendapatkan sokongan tambahan melalui skim jaminan di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dan Credit Guarantee Corporation (CGC), selain khidmat nasihat dan bantuan kewangan melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), tambahnya.
-- BERNAMA