Bank Negara Malaysia Kekalkan Kadar Dasar Semalaman Pada 2.75 Peratus
KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus bagi tempoh ketujuh berturut-turut, pada Khamis.
Dalam kenyataan, bank pusat menjelaskan pada tahap OPR semasa, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) berpendapat pendirian dasar monetari adalah wajar dan konsisten dengan prospek kestabilan harga yang berterusan dan pertumbuhan ekonomi yang mampan.
“MPC akan terus memantau perkembangan semasa dan menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negara,” menurut BNM.
BNM memakliumkan petunjuk terkini menunjukkan pertumbuhan global yang berdaya tahan secara keseluruhan, disokong oleh pengembangan teknologi yang kukuh serta keadaan bekalan dan harga komoditi utama yang bertambah baik.
Bagi Malaysia, perkembangan terkini menunjukkan pertumbuhan yang berdaya tahan pada suku kedua, didorong oleh permintaan dalam negara yang mampan dan prestasi eksport yang lebih kukuh daripada jangkaan, tambah BNM.
Menurut BNM konflik Timur Tengah yang masih tidak menentu boleh mempengaruhi prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negara namun asas-asas Malaysia yang kukuh akan terus menyokong daya tahan ekonomi negara bagi menghadapi kejutan luaran.
Guna tenaga, pertumbuhan upah serta langkah-langkah dasar akan kekal menyokong perbelanjaan isi rumah, jelasnya.
“Aktiviti pelaburan akan didorong oleh kemajuan projek berbilang tahun yang dilaksanakan dalam sektor swasta dan awam, pelaksanaan projek awam baharu berskala kecil, lebih banyak pelaksanaan berterusan pelaburan yang telah diluluskan, serta pelan induk nasional yang terus dilaksanakan.
“Sektor luaran akan terus meningkat disebabkan oleh prospek pertumbuhan global yang bertambah baik dan permintaan yang mantap terhadap elektrik dan elektronik (E&E),” tambahnya.
Bank pusat menambah pemulihan dalam eksport bukan E&E dan perbelanjaan pelancong yang berterusan akan memberikan sokongan tambahan.
“Oleh itu, unjuran pertumbuhan bagi 2026 dijangka berada kukuh dalam julat antara empat peratus hingga lima peratus. Prospek pertumbuhan ini kekal bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi rendah berikutan konflik Timur Tengah yang berlarutan dan pengeluaran komoditi yang lebih rendah.
“Potensi pertumbuhan menjadi pesat boleh berpunca daripada prospek pertumbuhan global yang lebih baik berikutan konflik yang mereda, permintaan terhadap barangan E&E yang lebih kukuh dan aktiviti pelancongan yang lebih giat,” menurut BNM.
BNM menjelaskan dalam lima bulan pertama tahun ini, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing berpurata pada 1.7 peratus dan 2.1 peratus justeru secara amnya selaras dengan jangkaan, dalam keadaan pindahan awal tekanan kos global yang lebih tinggi.
Perkembangan berhubung dengan konflik Timur Tengah kekal cepat berubah, dengan harga komoditi global yang tinggi dijangka memberikan tekanan menaik kepada inflasi, tambah bank pusat.
BNM memaklumkan bagaimanapun, kesannya terhadap inflasi keseluruhan dan inflasi teras pada 2026 dijangka kekal terkawal. Hal ini mencerminkan langkah-langkah dasar dalam negara dan keadaan permintaan yang stabil, yang akan mengurangkan pindahan tekanan kos luaran kepada harga dalam negara.
“Risiko pertumbuhan global menjadi rendah terus wujud, berpunca daripada ketidaktentuan yang berterusan berhubung dengan konflik tersebut, keadaan kewangan global yang lebih ketat dan kebimbangan tentang penilaian dalam pasaran kewangan,” menurut BNM.
BNM memaklumkan potensi pertumbuhan menjadi pesat termasuk pemulihan keadaan rantaian bekalan yang lebih cepat daripada jangkaan, perbelanjaan teknologi yang lebih kukuh dan langkah-langkah dasar yang menyokong pertumbuhan di negara-negara maju.
Susulan keputusan hari ini, BNM dijadualkan mengadakan dua lagi mesyuarat MPC bagi tahun ini untuk menyemak semula OPR, yang dikekalkan pada 2.75 peratus sejak 9 Julai, 2025.
-- BERNAMA