Pemulihan Penghantaran Ambil Masa, Pelabuhan Malaysia Sedia Atasi Lambakan Di Selat Hormuz
Oleh Harizah Hanim Mohamed
KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama) -- Pelabuhan, syarikat perkapalan dan pemilik kargo kini menghadapi tugas berat untuk memulihkan rantaian bekalan global dan menyelesaikan lambakan kapal dan kargo yang terkumpul di Selat Hormuz dan sekitarnya susulan konflik yang berlaku sejak beberapa bulan.
Proses itu dikatakan boleh mengambil masa berminggu-minggu atau bahkan berbulan-bulan oleh penggiat industri.
Bagi Malaysia, pemulihan aktiviti penghantaran secara beransur-ansur antara Asia, Timur Tengah dan Eropah boleh mendorong trafik kapal dan pergerakan kargo yang lebih tinggi melalui pelabuhan di sepanjang Selat Melaka.
Tambahan pula, Selat Melaka merupakan antara laluan perdagangan maritim paling sibuk di dunia yang mewakili hampir 22 peratus daripada perdagangan global dan 29 peratus minyak maritim.
Tiga Fasa Pemulihan
Presiden Persekutuan Penghantar Fret Malaysia (FMFF) Datuk Dr Tony Chia Han Teun berkata pelayaran kapal melalui Selat Hormuz kemungkinan dilakukan melalui tiga fasa.
Beliau berkata kargo tenaga dijangka diutamakan sebelum memulihkan rangkaian penghantaran kontena dan pukal secara beransur-ansur dalam beberapa minggu dan bulan akan datang.
“Kami menjangkakan fasa pertama atau pembukaan semula pada peringkat awal hampir pasti akan diberikan kepada kapal tangki minyak mentah, kapal pengangkut gas asli cecair (LNG), kapal tangki produk petroleum bertapis dan kapal sewa khas strategik kerajaan.
“Sebabnya mudah, kira-kira 20 peratus daripada penggunaan minyak global dan sebahagian besar perdagangan LNG dikendalikan di Selat Hormuz. Kalangan kerajaan sudah tentu mahu aliran tenaga dipulihkan terlebih dahulu untuk menstabilkan pasaran,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata berdasarkan perbualan FMFF dengan sekutu penghantaran, dua fasa seterusnya akan melibatkan penyelesaian lambakan kerana kesesakan utama berlaku di peringkat ini manakala penilaian industri mendapati untuk menyelesaikan kesesakan kapal tangki sahaja boleh mengambil masa kira-kira 10 hingga 15 hari selepas pembukaan semula.
“Pada peringkat ini, kapal kontena mula bergerak dalam bilangan yang besar, diikuti oleh kapal pengangkut pukal (mengangkut bijirin, mineral, arang batu) dan selepas itu kapal kargo am dan kargo projek akan menyambung semula transit berjadual.
“Pihak berkuasa kawalan trafik mungkin menggunakan penjadualan gaya konvoi atau peruntukan slot masa,” katanya.
Beliau berkata fasa ketiga atau pemulihan rangkaian sering kali diabaikan banyak pihak memandangkan walaupun selepas kapal melalui Selat Hormuz, jadual perkapalan global masih terganggu.
“Kapal kontena yang ditangguhkan selama dua hingga empat minggu di Teluk mungkin tiba lewat di Jebel Ali, Pelabuhan Klang, Singapura, Colombo, Rotterdam dan juga Hamburg; dan syarikat perkapalan kemudiannya perlu menggerakkan semula kontena kosong, menjadualkan semula pusingan kapal, memulihkan jadual berlabuh pelabuhan serta menyusun semula perubahan anak kapal.
“Seorang pengendali kapal utama dilaporkan menganggarkan sekitar enam minggu untuk memulihkan rangkaian yang normal sepenuhnya sebaik sahaja kapal boleh bergerak bebas semula,” menurutnya.
Lambakan Kapal, Kadar Pengangkutan Dijangka Susut Beransur-Ansur
Berdasarkan data awam, lebih 102,500 kapal telah melalui Selat Melaka pada 2025.
Hari ini -- iaitu 135 hari selepas laluan melalui Selat Hormuz mula dikenakan sekatan pada 28 Februari --data pemantauan Selat Hormuz menunjukkan kira-kira 2,000 kapal terkandas akibat konflik di Asia Barat.
Pada masa sama, hanya 34 kapal sedang melalui kawasan itu manakala kira-kira 250 kapal lain yang terdiri daripada kapal pengangkut kargo pukal, kapal tangki dan kapal lain masih menunggu giliran untuk berbuat demikian.
Mengenai sama ada kadar pengangkutan akan menurun, Chia berkata kadar bagi kapal tangki minyak dijangka menyusut dengan cepat.
“Premium risiko perang dan premium kekurangan bekalan yang menyebabkan kadar kapal tangki meningkat dijangka mula berkurangan apabila syarikat insurans kembali yakin dan barisan kapal yang menunggu semakin berkurangan.
“Jangkaan tempohnya adalah penurunan awal akan berlaku dalam masa sehingga tiga minggu manakala penurunan yang ketara dijangka sehingga dua bulan.
“Kadar perkapalan kontena dan kadar pengangkutan kontena biasanya akan mengambil masa lebih lama untuk menurun. Keadaan ini memandangkan syarikat pengangkutan akan berusaha terlebih dahulu untuk menampung kos bahan api yang tinggi, caj tambahan risiko perang serta kos gangguan jadual,” katanya.
Bagi perkapalan kargo pukal, Chia berkata kadar pengangkutan dijangka kembali normal antara pasaran kapal tangki dan pasaran kontena, namun bergantung kepada keyakinan bahawa perjanjian damai itu kekal serta tiada sekatan baharu atau berlakunya serangan.
Menurutnya, menjelang Oktober 2026, pasaran pengangkutan dan keadaan syarikat insurans dijangka hampir kembali normal seperti sebelum berlakunya krisis.
“Bagi pengimport dan pengeksport Malaysia serta ASEAN, manfaat pertama yang dijangka adalah pengurangan caj tambahan berkaitan bahan api dan kadar kapal tangki dalam tempoh beberapa minggu.
“Kadar pengangkutan kontena mungkin mengambil tempoh tambahan satu hingga dua bulan untuk menunjukkan kesan pembukaan semula laluan itu,” kata Chia.
Pelabuhan Tanjung Pelepas Optimis Prestasi Bertambah Baik
Dalam persekitaran itu, Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd (PTP), pengendali Pelabuhan Tanjung Pelepas, kekal optimis terhadap prospek syarikat bagi separuh kedua 2026.
Di Malaysia, koridor Selat Melaka bukan sekadar laluan perkapalan, malah menempatkan pelbagai aset strategik yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungan operasi peralatan industri.
Ia merangkumi Pelabuhan Klang, Pelabuhan Tanjung Pelepas, zon perindustrian Johor, ekosistem elektronik Pulau Pinang, infrastruktur LNG, loji jana kuasa, kemudahan pembaikan kapal, perkhidmatan pembekalan bahan api kapal, pergudangan, sistem kastam serta syarikat penyelenggaraan berskala kecil.
Ketua Pegawai Eksekutif PTP Mark Hardiman berkata sebarang pemulihan aliran perdagangan merupakan perkembangan positif kepada industri.
Bagaimanapun, katanya, peningkatan aktiviti pemindahan kapal bergantung kepada bagaimana syarikat perkapalan menyusun semula rangkaian dan jadual pelayaran masing-masing.
"Pemulihan itu tidak dijangka berlaku serta-merta. Walaupun keadaan semakin stabil, kapal, kargo dan jadual pelayaran memerlukan masa untuk kembali pulih seperti biasa," katanya.
Hardiman berkata walaupun mungkin terdapat sedikit peningkatan dalam pergerakan kargo apabila inventori diisi semula dan rantaian bekalan kembali normal, sejauh mana impaknya terhadap PTP akan bergantung kepada laluan kargo dan keputusan syarikat perkapalan.
Mengenai prestasi syarikat, beliau berkata PTP mencatatkan prestasi kukuh pada separuh pertama 2026, disokong pertumbuhan berterusan dalam pengendalian kontena, produktiviti kapal yang tinggi serta kecekapan operasi.
"PTP kekal optimis terhadap prestasi separuh kedua 2026. Meskipun ketidaktentuan global masih berterusan, petunjuk semasa menunjukkan prestasi bagi tempoh itu berpotensi mengatasi separuh pertama, disokong permintaan pelanggan yang stabil, pertumbuhan rangkaian perkhidmatan serta kecemerlangan operasi yang berterusan," katanya.
Tangani Kesesakan Rantaian Bekalan Perlu Masa
Penganalisis maritim, logistik dan rantaian bekalan Nazery Khalid bersetuju bahawa pembukaan semula Selat Hormuz merupakan permulaan untuk proses pemulihan, dengan industri maritim masih perlu menyelesaikan lambakan kapal dan kargo yang terjejas akibat gangguan berkenaan.
Beliau berkata pengalaman daripada pandemik COVID-19 menunjukkan masa yang begitu lama diperlukan untuk menyelesaikan kesesakan dalam rantaian bekalan.
"Ini mengambil masa kira-kira 18 hingga 24 bulan untuk menyelesaikan kesesakan yang paling buruk disebabkan gangguan kepada aliran pengangkutan laut semasa pandemik.
"Gangguan awal kepada perdagangan maritim bermula pada awal 2020 dan rantaian bekalan hanya stabil pada pertengahan hingga akhir 2023 apabila permintaan perdagangan kembali normal dan kapasiti logistik kembali pulih," kata beliau.
Nazery berkata pemulihan sepenuhnya dalam aliran perdagangan antara negara Teluk, Asia dan Eropah dapat dilihat apabila perkhidmatan perkapalan dan jumlah kargo kembali kepada paras sebelum konflik, kos insurans dan kadar tambang pengangkutan menurun dan akhirnya klasifikasi risiko perang di rantau itu ditarik balik.
Bagi pelabuhan di Malaysia, aliran perdagangan yang pulih secara beransur-ansur ini boleh membawa kebaikan dengan menyediakan aktiviti kargo yang berterusan ketika syarikat perkapalan menyelesaikan penghantaran yang tertangguh dan memulihkan kembali kecekapan rangkaian dalam beberapa bulan akan datang.
Perkembangan terkini di Asia Barat menyaksikan Amerika Syarikat (AS) dan Iran saling melancarkan serangan selepas rundingan gencatan senjata secara tidak langsung berakhir beberapa minggu lepas tanpa sebarang petunjuk jelas ke arah keamanan yang berkekalan.
Keadaan itu berlaku walaupun gencatan senjata selama 60 hari dilaksanakan bagi memberi ruang kepada usaha diplomasi susulan serangan AS dan Israel yang mencetuskan konflik berkenaan.
-- BERNAMA