Laksana Kerjasama Pertahanan Multinasional Di Selat Melaka Bagi Kesiapsiagaan Hadapi Krisis Geopolitik - Penganalisis

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Negara yang bersempadan dengan Selat Melaka perlu memulakan kerjasama pertahanan multinasional dengan menjalankan ujian tekanan dan simulasi di selat tersebut untuk lebih bersedia menghadapi potensi krisis geopolitik, kata penganalisis. 

Penganalisis Geopolitik dan Hubungan Antarabangsa Dr Wan Zokhri Wan Idris berkata langkah kesiapsiagaan itu amat penting berikutan sebarang gangguan di Selat Melaka akan memberi implikasi kepada perdagangan maritim pada peringkat serantau dan global.

Ad Banner

Katanya walaupun terdapat kerjasama multinasional antara negara-negara yang bersempadan dengan Selat Melaka, terdiri daripada Malaysia, Indonesia dan Singapura, kerjasama itu lebih tertumpu kepada langkah membanteras kegiatan lanun, pemerdagangan manusia dan penyeludupan melalui laut.

“Kita perlu memperluas (kerjasama itu) dengan meliputi senario melibatkan peningkatan aktiviti ketenteraan di Laut China Selatan,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.

Beliau berkata langkah kesiapsiagaan itu adalah penting berikutan sebarang gangguan di Selat Melaka akan memberi implikasi yang meluas terhadap perdagangan pada peringkat serantau dan global.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Jika krisis meningkat, katanya banyak syarikat perkapalan dijangka menukar laluan kapal, menyebabkan tempoh transit yang lebih lama, kos pengangkutan lebih tinggi dan gangguan kepada rantaian bekalan global.

Aliran bekalan tenaga akan menjadi kurang cekap, kos pengangkutan akan meningkat dan tempoh penghantaran akan menjadi lebih lama.

“Ini juga akan menambah lagi kelemahan berikutan perairan di sekitar Indonesia dianggap cetek dan tidak sesuai untuk aktiviti perkapalan pada skala besar. 

“Ini sudah tentu akan meningkatkan masa yang diperlukan untuk membawa barangan dan perkhidmatan serta menjejaskan pertumbuhan ekonomi Asia Tenggara,” katanya.

Membandingkan Selat Melaka dengan Asia Barat, Wan Zokhri, yang berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) berkata selat itu terletak di rantau yang stabil manakala hubungan antara negara-negara di Asia Barat, terutamanya Iran dan negara-negara Teluk, beroperasi di bawah dinamik geopolitik yang berbeza daripada hubungan antara Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura.

Bagaimanapun, katanya konflik yang berlaku di Asia Barat menekankan kepentingan membuat persediaan untuk menghadapi senario yang kebarangkaliannya rendah tetapi berimpak tinggi sebelum ia menjadi realiti.

Wan Zokhri berkata pengalaman semasa pandemik COVID-19 turut menunjukkan bahawa penyelarasan antara kerajaan, pengendali pelabuhan, syarikat perkapalan dan agensi keselamatan masih terhad, dengan banyak entiti terus bekerja secara berasingan dan silo.

“Kebimbangan turut dibangkitkan oleh pemain industri mengenai data tidak dikongsi antara agensi, menyebabkan kesukaran dalam menjana usaha bersepadu apabila krisis berlaku,” katanya.

Selain ancaman keselamatan bukan tradisional, Wan Zokhri berkata tumpuan juga perlu diberikan kepada risiko baharu seperti keselamatan siber, yang boleh menjejaskan operasi pelabuhan dan pelayaran kapal.

“Kapal moden bergantung pada carta navigasi digital, sistem pengenalan automatik (AIS) dan GPS. Pencerobohan siber boleh memanipulasi sistem ini untuk memalsukan lokasi, menyebabkan perlanggaran atau membantu penjenayah maritim merampas kapal dan mengelak rondaan keselamatan,” katanya.

Dari perspektif lain, Wan Zokhri berkata ketidakstabilan yang berpanjangan di Asia Barat, termasuk Laut Merah dan Selat Hormuz, telah meningkatkan kepentingan strategik Selat Melaka tanpa mengambil kira situasi.

“Ini kerana Selat Melaka merupakan satu-satunya penghubung antara ekonomi Asia dan Barat. Jika fungsi Selat Melaka terjejas, ia pasti akan memberi kejutan kepada ekonomi global,” katanya.

Pemerhatian umum dalam kalangan komuniti maritim ialah walaupun Selat Hormuz dan Selat Melaka sering dibincangkan secara berasingan, pada hakikatnya kedua-duanya menjadi tunjang kepada satu koridor ekonomi terutamanya untuk penghantaran tenaga bagi menyokong pengeluaran perindustrian di Asia Timur.

“Ini telah mendorong China untuk melaksanakan Inisiatif Jalur dan Laluan melalui jaringan kereta api di seluruh benua sebagai alternatif kepada kelemahan perairan antarabangsa,” katanya.

Wan Zokhri berkata tiada sebuah negara pun mempunyai keupayaan sepenuhnya untuk melindungi Selat Melaka yang merentasi dari Thailand hingga Singapura.

“Kita tidak boleh mengehadkan penglibatan setiap negara kepada perairan negara mereka sahaja. Keselamatan dan daya tahan jangka panjang Selat Melaka memerlukan tadbir urus yang melibatkan semua negara bersempadan dengannya.

“Dalam perkara ini, kejayaan hanya dapat dicapai melalui kerjasama antara negara-negara tersebut,” katanya.

-- BERNAMA