BERITA TERKINI   PM Anwar hargai peranan wartawan pertahan kebebasan media dan sistem demokrasi negara | Keperluan menguasai teknologi baharu tidak harus ketepi jati diri, nilai dan akhlak - PM Anwar | Pertumbuhan KDNK Malaysia sebanyak 5.8 peratus pada suku kedua 2026 didorong reformasi dan dasar yang dilaksanakan Kerajaan MADANI sejak lebih tiga tahun lepas - PM Anwar | Ekonomi Malaysia terus menunjukkan daya tahan meskipun ketidaktentuan geopolitik, gangguan rantaian bekalan dan perdagangan - PM Anwar | Pesona Metro memperoleh kontrak bernilai RM247.50 juta bagi membina tiga blok hospital di Setia Alam | 

Bursa Malaysia Ditutup Tinggi Disokong Aliran Masuk Dana Asing, KDNK Suku Kedua

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Indeks utama Bursa Malaysia ditutup tinggi pada Jumaat, disokong aliran masuk dana asing yang berterusan dan asas makroekonomi domestik yang semakin mengukuh.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 9.26 mata atau 0.54 peratus untuk ditutup pada 1,731.45 daripada 1,722.19 semalam.

Ad Banner

Indeks penanda aras itu dibuka 2.33 mata lebih rendah kepada 1,719.86 sebelum bergerak antara 1,719.56 hingga 1,735.67 mata sepanjang dagangan.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 690 berbanding 413, manakala 550 kaunter tidak berubah, 1,082 kaunter tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 3.44 bilion unit bernilai RM3.04 bilion daripada 3.68 bilion unit bernilai RM2.80 bilion pada Khamis.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, berkata inflasi negara yang rendah mengukuhkan prospek perbelanjaan pengguna.

Beliau berkata dalam pada itu, kadar dasar semalaman yang dikekalkan pada 2.75 peratus, terus menyediakan persekitaran pembiayaan yang stabil, menyokong pengembangan perniagaan serta aktiviti pelaburan.

“Kenaikan (hari ini) diterajui oleh saham petrokimia, perbankan dan telekomunikasi, mencerminkan minat belian baharu dalam sektor kitaran dan bermodal besar,” katanya kepada Bernama.

Dalam laporan Anggaran Awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi Suku Kedua 2026 hari ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOM) mengumumkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.8 peratus pada suku kedua 2026 selepas mencatatkan pertumbuhan 5.4 peratus pada suku tahun sebelumnya.

DOSM memaklumkan prestasi itu disokong oleh pertumbuhan dalam hampir semua sektor ekonomi kecuali sektor pertanian yang mencatatkan penguncupan.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata ketegangan geopolitik yang semakin meningkat antara AS dan Iran telah menjejaskan minat risiko keseluruhan.

Beliau berkata serangan baharu merentas Teluk mendorong harga minyak meningkat mendadak ekoran kebimbangan mengenai gangguan terhadap laluan eksport Selat Hormuz dan Laut Merah.

Pelabur dinasihatkan supaya berhati-hati meskipun terdapat peningkatan hari ini, memandangkan risiko geopolitik yang meningkat serta turun naik saham teknologi global yang berterusan boleh menjejaskan sentimen pasaran, katanya.

"Bagaimanapun, pasaran tempatan dijangka kekal agak berdaya tahan, disokong oleh pembelian asing dan minat yang berterusan terhadap saham berwajaran tinggi perbankan dan yang bersifat defensif," katanya.

Antara kaunter wajaran tinggi, Maybank naik 16 sen kepada RM11.20, Public Bank naik lima sen kepada RM5.25, CIMB meningkat 12 sen kepada RM7.82, Tenaga Nasional tidak berubah pada RM14.30 manakala IHH Healthcare turun tiga sen kepada RM8.50.

Bagi saham aktif, Tanco menokok 1.5 sen kepada 33.5 sen, Zetrix AI naik setengah sen kepada 74.5 sen, Nationgate susut lapan sen kepada RM1.09, VS Industry kurang setengah sen kepada 23 sen dan Dagang Nexchange menguncup 2.5 sen kepada 44 sen.

Antara kaunter paling untung, Nestle melonjak 44 sen kepada RM92.44, Hong Leong Bank meningkat 42 sen kepada RM22.44, Hong Leong Industries naik 18 sen kepada RM18.60 manakala Genting Plantations dan Padini masing-masing menokok 17 sen kepada RM5.70 dan RM1.59.

Bagi kaunter paling rugi, Malaysian Pacific Industries merosot RM2.08 kepada RM43.20, United Plantations susut 40 sen kepada RM34.60, Vitrox susut 38 sen kepada RM7.28, Kelington menguncup 33 sen kepada RM7.50, dan SAM Engineering turun 29 sen kepada RM4.48.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas Syariah turun 38.80 mata kepada 12,482.47, Indeks FBM 70 susut 128.58 mata kepada 17,774.92 dan Indeks FBM ACE berkurangan 35.96 mata kepada 4,879.15.

Indeks FBM Emas menokok 19.87 mata kepada 12,719.09, dan Indeks FBMT 100 menambah 27.95 mata kepada 12,557.56.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 224.53 mata kepada 20,535.36, dan Indeks Perladangan menokok 10 mata kepada 9,483.77. Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.20 mata kepada 186.73 dan Indeks Tenaga susut 3.61 mata kepada 766.28.

Jumlah dagangan Pasaran Utama mengecil kepada 1.65 bilion unit bernilai RM2.72 bilion daripada 1.85 bilion unit bernilai RM2.45 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.28 bilion unit bernilai RM152.59 juta daripada 1.21 bilion unit bernilai RM151.75 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE turun kepada 504.91 juta unit bernilai RM171.06 juta daripada 615.64 juta unit bernilai RM191.99 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 175.03 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (343.83 juta), pembinaan (151.85 juta), teknologi (253.50 juta), perkhidmatan kewangan (113.77 juta), hartanah (335.99 juta), perladangan (31.53 juta), amanah pelaburan hartanah (16.95 juta), dana tertutup (374,100), tenaga (93.83 juta), penjagaan kesihatan (46.61 juta), telekomunikasi dan media (20.08 juta), pengangkutan dan logistik (25.97 juta), utiliti (48.42 juta), dan amanah perniagaan (30,100).

-- BERNAMA