BERITA TERKINI   PM umum sumbangan RM2 juta kepada Institut Pemikiran Al-Qaradawi | Dewan Negara lulus Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 | Sweden, Poland, Romania dan Lithuania diterima menjadi anggota baharu Triti Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC) - Mohamad HasanĀ  | ASEAN terima United Kingdom sebagai negara anggota Forum Serantau ASEAN (ARF) yang baharu- Mohamad Hasan | ASEAN terima kemasukan Turkiye sebagai Rakan Dialog yang baharu - Mohamad Hasan | 

AirBorneo Perluas Operasi Ke Seluruh ASEAN, Kekalkan Perkhidmatan Udara Luar Bandar

SEPANG, 20 Julai (Bernama) -- AirBorneo Airways (AirBorneo) akan memperluaskan operasinya ke beberapa destinasi di seluruh ASEAN sambil terus mengekalkan tanggungjawabnya untuk menyediakan perkhidmatan udara luar bandar (rural air services) di Sarawak dan Sabah.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata syarikat penerbangan milik Kerajaan Sarawak itu akan memulakan penerbangan sulung bagi laluan Kuching-Singapura pada 22 Julai bersempena dengan sambutan Hari Sarawak, diikuti Jakarta dalam tempoh dua bulan.

Beliau berkata seterusnya AirBorneo merancang untuk memperluaskan rangkaian penerbangannya ke bandar-bandar lain di ASEAN bagi mengukuhkan hubungan ekonomi dan perhubungan antara rakyat di rantau tersebut.

Ad Banner

“Hasrat AirBorneo ialah menyediakan perkhidmatan antara bandar dalam ASEAN, sekali gus mengukuhkan hubungan ekonomi antara negara anggota ASEAN, khususnya Indonesia, Singapura dan negara yang berjiran dengan Sarawak,” katanya pada sidang media sempena penerbangan sulung AirBorneo dari Kuching ke Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata pengambilalihan MASwings oleh Kerajaan Sarawak membolehkan AirBorneo meneruskan perkhidmatan udara luar bandar ke kawasan pedalaman Sarawak dan Sabah, selain mengembangkan operasinya sebagai syarikat penerbangan komersial di kedua-dua negeri itu.

“Kami berharap AirBorneo akan ‘terbang’ seperti (burung) Kenyalang, ke mana sahaja kami pergi,” katanya. 

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menyambut ketibaan penerbangan sulung AirBorneo dari Kuching ke Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini.

Penerbangan MY5005 itu membawa Abang Johari bersama barisan menteri negeri Sarawak serta tetamu kenamaan.

Yang turut hadir, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri serta Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah.

Sementara itu, Premier Sarawak berkata kerajaan negeri menghargai persetujuan yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pengangkutan bagi membolehkan AirBorneo mengembangkan operasinya ke luar Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata laluan Kuching-Kuala Lumpur menjadi permulaan perjalanan AirBorneo sebagai syarikat penerbangan komersial dan menyifatkannya sebagai hadiah kepada rakyat Sarawak serta Malaysia bersempena dengan sambutan Hari Sarawak.

Tambahnya, AirBorneo juga berusaha untuk menstabilkan tambang penerbangan antara Semenanjung Malaysia dengan Sarawak supaya lebih mampu milik, sekali gus memudahkan perjalanan pelajar yang melanjutkan pengajian di kedua-dua wilayah serta keluarga mereka.

Jelas Abang Johari, dalam tempoh enam bulan pertama operasinya, AirBorneo akan memberi tumpuan kepada penyediaan tambang mampu milik menerusi tambang tetap RM375 bagi laluan Kuching-Kuala Lumpur dan RM399 bagi laluan Kuching-Singapura.

Beliau berkata AirBorneo juga merancang meneroka laluan ke Asia Timur dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang, manakala perkhidmatan udara luar bandar akan diteruskan sebagai tanggungjawab syarikat, sementara laluan lain dikendalikan secara komersial.

Mengenai perancangan jangka panjang, katanya, Sarawak berhasrat menjadikan negeri itu hab pelaburan berasaskan tenaga boleh baharu dan industri rendah karbon, dilengkapi rangkaian penerbangan yang menyokong pertumbuhan ekonomi negeri serta negara.

Dalam pada itu, mengenai perbelanjaan modal AirBorneo bagi tempoh lima tahun akan datang, beliau menjelaskan bahawa jumlah itu belum dapat didedahkan kerana ia masih di peringkat kajian.

“Saya tidak boleh nyatakan pada masa ini kerana kami masih mengira angkanya. Tetapi saya yakin laluan ke Singapura dan Kuala Lumpur telah dimuktamadkan, manakala laluan lain masih dalam peringkat pengiraan,” katanya.

-- BERNAMA