Pengambilan Untung Dalam Saham Perbankan Dorong Bursa Malaysia Ditutup Rendah
KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Indeks utama Bursa Malaysia ditutup rendah pada Isnin apabila aktiviti pengambilan untung dalam saham wajaran tinggi perbankan mempengaruhi penanda aras itu walaupun sentimen di seluruh pasaran kekal positif.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 9.16 mata atau 0.52 peratus untuk ditutup pada 1,722.29 daripada 1,731.45 pada Jumaat lepas.
Indeks penanda aras itu dibuka 1.20 mata lebih tinggi kepada 1,732.65 sebelum bergerak antara 1,720.05 hingga 1,733.76 sepanjang dagangan.
Bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 590 berbanding 463, manakala 581 kaunter tidak berubah, 1,101 kaunter tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung.
Jumlah dagangan mengecil kepada 3.27 bilion unit bernilai RM2.21 bilion daripada 3.44 bilion unit bernilai RM3.04 bilion pada Jumaat minggu lepas.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata pasaran serantau merekodkan prestasi bercampur-campur apabila ekuiti Korea Selatan susut berikutan kebimbangan terhadap penilaian tinggi berkaitan kecerdasan buatan (AI).
Beliau berkata di samping itu saham China dan Hong Kong pula mencatat prestasi yang lebih baik susulan keyakinan baharu terhadap sektor AI negara itu.
“Pada masa sama, minyak mentah Brent meningkat melebihi US$90 setong ekoran ketegangan Asia Barat yang semakin memuncak sekali gus meningkatkan kebimbangan mengenai tekanan inflasi dan prospek kadar faedah global.
“Walaupun ketegangan geopolitik semakin meningkat dan harga minyak mentah yang tinggi mungkin terus menjejaskan sentimen pasaran keseluruhan namun, aliran masuk dana asing berpanjangan dan minat belian berdaya tahan dalam saham mewah terpilih dijangka membantu mengurangkan penurunan,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata oleh itu, penggiliran sektor akan kekal sebagai tumpuan utama, dengan pelabur mengutamakan kaunter tenaga dan perladangan yang disokong harga komoditi yang lebih teguh.
Selain itu, peluang terpilih juga mungkin muncul dalam saham perbankan dan yang bersifat defensif dengan asasnya kukuh, katanya.
“Kami menjangkakan FBM KLCI kekal dalam jajaran kecil antara 1,710 hingga 1,740 minggu ini,” katanya.
Antara kaunter wajaran tinggi, Maybank susut 18 sen kepada RM11.02, Public Bank kurang enam sen kepada RM5.19, CIMB turun tujuh sen kepada RM7.75, manakala Tenaga Nasional dan IHH Healthcare masing-masing kekal pada RM14.30 dan RM8.50.
Bagi saham aktif, Inari Amertron meningkat 11 sen kepada RM2.28, manakala Pegasus Heights dan Aimax masing-masing mendatar pada setengah sen dan satu sen, Zetrix AI susut 2.5 sen kepada 72 sen, dan Tanco kurang tiga sen kepada 30.5 sen.
Daripada saham paling untung, Malaysian Pacific Industries melonjak RM1.46 sen kepada RM44.66, Vitrox meningkat 41 sen kepada RM7.69, Westports menambah 38 sen kepada RM6.53, Panasonic Manufacturing Malaysia Bhd menokok 34 sen kepada RM5.64 dan Kelington naik 28 sen kepada RM7.78.
Bagi saham paling rugi, Nestle susut 78 sen kepada RM92.66, Hong Leong Financial menguncup 48 sen kepada RM18.34, Hong Leong Bank turun 20 sen kepada RM22.24, dan RHB Bank kurang 16 sen kepada RM8.37.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas Syariah menokok 41.18 mata kepada 12,529.65, Indeks FBM 70 meningkat 139.96 mata kepada 17,914.88 dan Indeks FBM ACE menambah 31.62 mata kepada 4,910.77.
Indeks FBM Emas turun 17.91 mata kepada 12,701.18 dan Indeks FBMT 100 susut 25.40 mata kepada 12,532.15.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 237.18 mata kepada 20,298.18, Indeks Perladangan naik 9.77 mata kepada 9,493.54, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.46 mata kepada 186.19, dan Indeks Tenaga menambah 9.48 mata kepada 775.76.
Jumlah Pasaran Utama sebanyak 1.62 bilion unit bernilai RM1.93 bilion berbanding 1.65 bilion unit bernilai RM2.72 bilion pada Jumaat lepas.
Jumlah dagangan waran turun kepada 1.20 bilion unit bernilai RM141.55 juta daripada 1.28 bilion unit bernilai RM152.59 juta sebelumnya.
Jumlah Pasaran ACE pula sebanyak 422.86 juta unit bernilai RM135.92 juta berbanding 504.91 juta unit bernilai RM171.06 juta pada Jumaat lepas.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 147.01 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (249.20 juta), pembinaan (94.93 juta), teknologi (335.70 juta), perkhidmatan kewangan (62.05 juta), hartanah (423.76 juta), perladangan (28.35 juta), amanah pelaburan hartanah (11.77 juta), dana tertutup (4,200), tenaga (121.77 juta), penjagaan kesihatan (45.40 juta), telekomunikasi dan media (24.30 juta), pengangkutan dan logistik (46.76 juta), utiliti (17.28 juta), dan amanah perniagaan (111,300).
-- BERNAMA