BERITA TERKINI   MB Johor hari ini umum pelantikan 10 Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Negeri | 

Mah Sing Bangun Taman Perindustrian RM2.26 Bilion Di Johor

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Mah Sing Group Bhd akan membangunkan MS Industrial Park @ Kulai, sebuah pembangunan perindustrian bersepadu di Johor dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2.26 bilion.

Projek itu telah menerima persetujuan pemegang saham semasa mesyuarat agung luar biasa kumpulan membabitkan pengambilalihan 169.63 hektar tanah pegangan bebas di Kulai.

Pembangunan itu akan mengukuhkan kehadirannya dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan meletakkan kumpulan untuk merebut peluang dalam lonjakan permintaan daripada industri pembuatan, logistik, teknologi dan infrastruktur digital termaju, kata pemaju hartanah itu melalui satu kenyataan hari ini.

Ad Banner

Kumpulan itu berkata pembangunan MS Industrial Park @ Kulai akan diusahakan oleh M Industrial Development Sdn Bhd, anak syarikat milik 60 peratus Mah Sing, dengan KLK Land Sdn Bhd memegang baki 40 peratus kepentingan ekuiti.

Pengambilalihan tanah yang diluluskan sebanyak RM273.87 juta tersebut telah dimuktamadkan atas dasar kerelaan pembeli-penjual dan mencerminkan nilai pasaran yang saksama, disokong oleh penilaian bebas sebanyak RM274.0 juta oleh Knight Frank Malaysia Sdn Bhd.

Dengan kemasukan MS Industrial Park @ Kulai, jumlah simpanan tanah Mah Sing akan bertambah kepada 1085.57 hektar, menyediakan kumpulan itu platform yang lebih kukuh dalam mengejar peluang pertumbuhan kediaman dan perindustrian masa hadapan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Tertakluk kepada kelulusan yang berkaitan, MS Industrial Park @ Kulai dirancang untuk menempatkan gabungan pelbagai kluster, kilang separa berkembar dan berkembar.

Tanpa mengambil kira keadaan yang tidak dijangka, pengambilalihan MS Industrial Park @Kulai dijangka selesai menjelang suku keempat 2026, dengan pembangunan disasarkan untuk dimulakan kemudiannya.

-- BERNAMA