BERITA TERKINI   PRN NS: Semua pihak harus berkempen secara sihat berasaskan idea dan fakta, bukan fitnah atau perbuatan khianat - Fahmi | PM Singapura Wong umum perubahan Kabinet dan pelantikan politik lain - PMO | Malaysia tetap pertahan kedaulatan negara sekat kemasukan warga Israel, tidak tunduk gertakan wakil kongres AS- PM Anwar | Pengambilan pelajar matrikulasi tanpa kira kaum, latar belakang sosioekonomi penting bagi pastikan akses pendidikan lebih adil - PM | Dewan Negara lulus Rang Undang-Undang Perlindungan Saksi (Pindaan) 2026 | 

Penganalisis Kpler Beri Amaran Harga Minyak Boleh Melonjak Melebihi US$100 Setong

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) – Harga minyak mentah berpotensi meningkat melebihi US$100 setong dan melonjak hingga US$120 berikutan kekangan bekalan yang kritikal sekiranya perang Amerika Syarikat (AS) dan Iran di Asia Barat berlarutan selama satu atau dua minggu lagi, demikian amaran oleh penganalisis kanan minyak mentah syarikat risikan pasaran Kpler, Muyu Xu. 

Harga minyak kini berlegar di paras melebihi US$93 setong.

Ad Banner

Menjelang tempoh itu, ‘pasaran mungkin merasai kekangan bekalan yang sebenar,” sekali gus mencetuskan kebimbangan ia boleh mengubah pasaran daripada keadaan lebihan bekalan yang sederhana kepada defisit bekalan semula, kata beliau.

Sehubungan itu, rantaian bekalan minyak global sangat terdedah kepada risiko, kata beliau bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Pengacara Bernama TV Melissa Ong dalam program ‘Bernama World’ menerusi temubual Zoom dari Singapura.

Beliau berkata prospek harga minyak akan bergantung kepada bagaimana konflik itu berkembang dan sejauh mana laluan trafik melalui Selat Hormuz terjejas, serta sama ada pasukan Houthi akan meneruskan ancaman untuk menyasarkan kapal-kapal yang dikaitkan dengan Arab Saudi dan ancaman sekatan laut di Laut Merah.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Jika ketegangan yang semakin memuncak ini berterusan selama satu atau dua minggu lagi, pasaran berkemungkinan mula merasai kekangan bekalan yang sebenar. 

“Dan dalam senario itu, harga minyak dengan mudah boleh melepasi US$100 setong dan melonjak sehingga US$120 dan tidak mustahil lebih tinggi lagi,” kata beliau.

Harga minyak mencatatkan paras tertinggi dalam tempoh lima minggu dengan minyak mentah Brent melonjak 2.68 peratus kepada US$93.45 setong, manakala minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) meningkat 2.69 peratus kepada US$86.61 setong.

Xu berkata pasaran minyak kekal berjaga-jaga, dengan transit harian melalui Selat Bab al-Mandab merosot kepada kurang 10 buah kapal sejak beberapa hari kebelakangan ini berbanding sekitar 50 buah kapal sebelum serangan terkini.

Selat itu merupakan laluan sempit maritim yang menghubungkan Laut Merah dengan Teluk Aden berdekatan pantai barat daya Yaman.

Dengan sekatan di Selat Hormuz, laluan itu berfungsi sebagai laluan tumpuan kedua yang amat penting bagi minyak dan perdagangan global.

Menurut laporan berita, kumpulan Houthi di Yaman mengisytiharkan sekatan laut serta-merta ke atas Arab Saudi, melarang navigasi maritim yang mempunyai kaitan dengan Arab Saudi dan memberi amaran sebarang peningkatan ketegangan akan dibalas dengan apa yang dijelaskan sebagai ‘peningkatan ketegangan yang menyeluruh dan teruk’.

Pengumuman itu dibuat selepas kumpulan berkenaan menuduh Arab Saudi melancarkan serangan udara ke atas lapangan terbang Sanaa minggu lepas dan Houthi bertindak balas melancarkan peluru berpandu ke arah wilayah Arab Saudi, sekali gus menamatkan keadaan yang agak tenang selama bertahun-tahun.

Xu berkata berdasarkan laporan media, sekurang-kurangnya empat kapal tangki minyak mentah berpatah balik ketika dalam perjalanan untuk memuatkan minyak mentah Arab Saudi atau selepas meninggalkan pelabuhan Arab Saudi, menunjukkan peserta pasaran memandang serius ancaman sekatan laut oleh kumpulan Houthi.

Beliau berkata pasaran bagaimanapun mengekalkan mod tunggu dan lihat di tengah-tengah harapan usaha diplomatik dapat membantu meredakan konflik berkenaan.

“Peserta pasaran semakin bimbang pergerakan minyak yang perlahan dari Asia Barat boleh mengubah pasaran daripada keadaan lebihan bekalan yang sederhana kepada defisit bekalan semula,” kata beliau.

Mengenai bekalan minyak global, Xu berkata aliran minyak mentah melalui Selat Bab al-Mandab merosot kepada sekitar tiga juta tong sehari (bpd) minggu lepas dan hampir mencecah paras sifar setakat minggu ini, berbanding lebih lapan juta bpd sehari pada awal Julai.

Pengeluar di Asia Barat berusaha memaksimumkan laluan eksport alternatif, dengan Arab Saudi mengekalkan muatan minyak mentah sekitar empat juta bpd dari pelabuhan Laut Merah di Yanbu, walaupun tidak pasti sama ada eksport berkenaan akan terjejas, kata beliau.

Xu menambah pengeluar minyak di sebelah barat Terusan Suez, termasuk pengeluar di benua Amerika dan Afrika Barat, telah mengekalkan paras pengeluaran dan eksport yang tinggi untuk mengambil kesempatan daripada harga minyak yang lebih kukuh.

Tetapi, beliau memberi amaran serangan dron baharu ke atas infrastruktur eksport Rusia dan musim taufan yang menghampiri AS juga boleh mengehadkan bekalan.

"Disebabkan itu, rantaian bekalan minyak global kekal terdedah kepada risiko. Laluan eksport alternatif dari Asia Barat dan bekalan tambahan dari sebelah barat Suez patut dilihat sebagai langkah penyelesaian sementara dan bukannya jalan penyelesaian kekal," katanya.

Beliau menambah walaupun langkah-langkah itu membantu mengurangkan kesan kejutan bekalan serta-merta, ia berkemungkinan besar tidak mencukupi untuk mengekalkan keseimbangan pasaran minyak global sekiranya gangguan terhadap pergerakan minyak dari Asia Barat berterusan untuk tempoh yang lama.

-- BERNAMA