Pembesaran Pelabuhan Sapangar Dijangka Siap Oktober 2027
KOTA KINABALU, 22 Julai (Bernama) -- Projek pembesaran Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar kini mencapai kemajuan 62.75 peratus setakat Jun lepas dan dijangka siap pada Oktober 2027 selepas pelaksanaannya tertangguh akibat kekangan mendapatkan bekalan pasir yang memenuhi spesifikasi projek.
Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ewon Benedick berkata pasir bagi kerja penambakan itu hanya boleh diperoleh di lokasi kira-kira 10 kilometer dari pelabuhan berkenaan sebelum melalui proses pembersihan dan dihantar semula ke tapak projek.
"Kelewatan ini berpunca terutamanya daripada isu bekalan pasir. Pasir perlu diambil dari lokasi kira-kira 10 kilometer, dibersihkan sebelum dihantar semula sejauh 10 kilometer ke tapak projek untuk kerja penambakan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (Pindaan) 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.
Ewon, yang juga Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, berkata beliau telah mengadakan pertemuan dengan konsortium WCT-CCCC bagi menyampaikan kebimbangan kerajaan negeri berhubung kelewatan projek serta membincangkan langkah mempercepat pelaksanaannya.
Beliau berkata konsortium itu memberi jaminan untuk menyerahkan sekurang-kurangnya 1.6 hektar kawasan projek bagi digunakan sebagai kawasan penyimpanan kontena sementara menunggu keseluruhan projek pembesaran siap.
"Apabila kawasan itu diserahkan, ia dapat digunakan sebagai kawasan penyimpanan kontena sementara bagi membantu mengurangkan kesesakan di pelabuhan," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ewon berkata peningkatan perkhidmatan penghantaran terus dari pelabuhan luar negara ke Pelabuhan Sapangar turut menyumbang kepada kesesakan di pelabuhan itu berikutan pertambahan aktiviti pelaburan dan eksport dari Sabah.
Menurut beliau, perkembangan itu mencerminkan pertumbuhan aktiviti ekonomi negeri apabila lebih banyak syarikat di kawasan perindustrian meningkatkan pengeluaran untuk pasaran eksport melalui Pelabuhan Sapangar.
Beliau berkata isu kapasiti pelabuhan perlu ditangani secara menyeluruh sebagai sebahagian daripada ekosistem perindustrian negeri, termasuk memastikan depot kontena, syarikat logistik dan pusat penerimaan kontena beroperasi pada waktu malam bagi meningkatkan kecekapan rantaian logistik.
Katanya, Kerajaan Sabah masih menunggu keputusan ibu pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berhubung permohonan mewartakan Pelabuhan Sapangar sebagai pelabuhan yang beroperasi 24 jam.
Selain itu, kementeriannya akan menyemak semula Pelan Induk Pelabuhan menerusi sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan, termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri, syarikat pengendali pelabuhan dan persatuan industri.
Dalam perkembangan lain, dua kren dermaga baharu kini sedang dipasang di Pelabuhan Tawau dan dijangka mula beroperasi pada awal bulan depan.
-- BERNAMA