Untung Bersih KIP REIT Naik Kepada RM145.30 Juta, Catat Pendapatan RM177.10 Juta
KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Keuntungan bersih KIP Real Estate Investment Trust (KIP REIT) meningkat kepada RM145.30 juta dalam tahun kewangan yang berakhir pada 30 Jun 2026 (TK2026) berbanding RM115.14 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.
Perolehan turut meningkat 30.1 peratus tahun ke tahun kepada RM177.10 juta berbanding RM136.14 juta dalam tahun kewangan sebelumnya.
KIP REIT dalam makluman kepada Bursa Malaysia menjelaskan bahawa prestasi kukuh itu didorong oleh prestasi keseluruhan yang lebih baik daripada lapan KIPMall, selain pendapatan daripada aset runcit dan perindustrian yang baharu diperoleh serta telah disiapkan sepanjang tahun kewangan itu.
Aset peruncitan dan perindustrian tersebut ialah KIPMall Desa Coalfields, KIP Kuantan, tanah perindustrian di Bintulu dan tanah perindustrian di Pasir Gudang.
Sementara itu, keuntungan bersih KIP REIT dalam suku keempat tahun kewangan 2026 (S4 TK2026), melonjak kepada RM92.38 juta berbanding RM79.25 juta pada suku keempat tahun kewangan 2025, manakala perolehan meningkat kepada RM48.22 juta berbanding RM39.89 juta dalam tempoh yang sama sebelumnya.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Valerie Ong dalam satu kenyataan berasingan berkata tahun kewangan 2026 merupakan tahun penentu bagi syarikat itu selepas ia mencatatkan prestasi kewangan serta operasi yang paling kukuh sejak penyenaraiannya pada 2017.
“Kami mencatat rekod dalam perolehan, pendapatan hartanah bersih, keuntungan selepas cukai dan pengagihan tahunan kepada pemegang unit, sekali gus menunjukkan daya tahan portfolio kami, hasil dedikasi pasukan kami dan kejayaan pelaksanaan strategi jangka panjang kami,” katanya.
Tambah Ong, KIP REIT akan terus mencipta nilai menerusi pengurusan aset aktif dengan mempertingkatkan hartanahnya, mengoptimumkan campuran sewaan, meningkatkan pengalaman pelanggan dan melaksanakan strategi pajakan, pengukuhan aset serta peruntukan modal yang berdisiplin.
Kesemuanya telah diterjemahkan kepada pertumbuhan mampan dan pulangan yang lebih kukuh kepada pemegang unit.
Oleh itu, Ong berkata kelulusan bagi pengambilalihan Setapak Central menandakan satu lagi kejayaan strategi pertumbuhan KIP REIT, dalam memperkukuh kualiti, daya tahan dan kepelbagaian portfolionya sambil mengembangkan kehadirannya dalam pasaran peruncitan Kuala Lumpur.
-- BERNAMA