Peruncit Tempatan Kembali Catat Belian Bersih Dengan Aliran Masuk RM223.1 Juta - MBSB IB
KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Peruncit tempatan kembali mencatatkan belian bersih di Bursa Malaysia minggu lalu selepas merekodkan jualan selama seminggu, membawa kepada aliran masuk bersih sebanyak RM223.1 juta, menurut MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB).
Menurut bank pelaburan itu dalam Laporan Aliran Dana mingguannya, institusi tempatan meneruskan aliran jualan bersih mereka kepada minggu keempat berturut-turut, dengan aliran keluar bersih sebanyak RM88.8 juta.
Institusi asing beralih arah dan kembali mencatat jualan bersih selepas dua minggu berturut-turut merekodkan belian bersih, dengan aliran keluar bersih berjumlah RM134.3 juta.
“Institusi asing merupakan pembeli bersih hanya pada satu daripada lima hari dagangan sepanjang minggu itu, dengan satu-satunya aliran masuk dicatatkan pada Selasa sebanyak RM169.5 juta.
“Aliran keluar tertinggi adalah pada Jumaat sebanyak RM148.8 juta, diikuti Rabu (RM72.9 juta), Khamis (RM63.9 juta) dan Isnin (RM18.2 juta),” menurutnya.
MBSB IB memaklumkan sektor pengangkutan dan logistik menarik aliran masuk bersih asing terbesar sebanyak RM154.4 juta, diikuti perkhidmatan kewangan (RM144.9 juta) dan utiliti (RM32.8 juta).
Aliran keluar bersih asing terbesar adalah daripada produk perindustrian dan perkhidmatan (RM204.8 juta), produk dan perkhidmatan pengguna (RM110.9 juta) dan teknologi (RM65.3 juta).
Menurut bank pelaburan itu, purata jumlah dagangan harian menurun dalam semua kumpulan pelabur, merosot 12.1 peratus dalam kalangan peruncit, 14.1 peratus dalam kalangan institusi tempatan dan 7.0 peratus dalam kalangan institusi asing.
-- BERNAMA