BERITA TERKINI   Tiga individu termasuk nenek tiri ditahan kes bunuh cucu perempuan berusia satu tahun empat bulan di Kota Tinggi pada 2 Ogos - Ketua Polis Johor | Kerajaan akan laksanakan reformasi dan islah sedayanya termasuk perkukuhkan Akta TH dan tadbir urus - Dr Zulkifli | TH beli tanah di TRX daripada 1MDB, dengan persoalan timbul apabila CEO TH merupakan ahli lembaga pengarah 1MDB | TH labur dalam Putrajaya Perdana, pengerusi TH ketika itu sebagai pengerusi Putrajaya Perdana dan syarikat terkait dalam urus niaga 1MDB dengan kerugian RM145.3 juta | Al-Rawda diarah bayar SAR899 juta, namun hanya bayar sebahagian apabila didapati tidak mempunyai kemampuan kewangan, sebanyak SAR14.9 juta sebelum gagal mematuhi terma Perjanjian Penyelesaian | 

Jualan Sektor Pembuatan Naik 9.8 Peratus Tahun Ke Tahun Kepada RM177 Bilion Pada Jun -- DOSM

PUTRAJAYA, 11 Ogos (Bernama) --  Nilai jualan sektor pembuatan meningkat 9.8 peratus tahun ke tahun kepada RM177 bilion pada Jun 2026, iaitu lebih tinggi berbanding kenaikan 8.9 peratus pada Mei 2026 (RM172.7 bilion), menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Pertumbuhan itu terutamanya didorong oleh subsektor produk elektrikal dan elektronik (E&E), yang mencatatkan pertumbuhan yang kukuh sebanyak 18.7 peratus. 

“Momentum positif ini seterusnya disokong oleh peningkatan 4.8 peratus dalam subsektor produk petroleum, kimia, getah dan plastik, di samping pemulihan dalam subsektor makanan, minuman dan tembakau yang kembali mencatatkan pertumbuhan 2.2 peratus (Mei 2026: -5.3 peratus),” jelas DOSM dalam satu kenyataan hari ini. 

Ad Banner

Sementara itu, tambah DOSM, nilai jualan industri berorientasikan eksport, yang menyumbang sebanyak 73.0 peratus daripada jumlah jualan sektor itu, meningkat 10.6 peratus tahun ke tahun pada Jun 2026, didorong oleh kenaikan dalam pembuatan produk komputer, elektronik dan optikal (20.7 peratus). 

“Pada masa sama, industri berasaskan domestik berkembang sebanyak 7.7 peratus tahun ke tahun pada Jun 2026, diikuti dengan pertumbuhan marginal sebanyak 0.2 peratus pada Mei 2026.

“Prestasi ini terutamanya didorong oleh industri pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler, yang menunjukkan pertumbuhan dua angka sebanyak 14.0 peratus (Mei 2026: -9.1 peratus).

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Selain itu, pembuatan produk pemprosesan makanan turut melantun semula kepada 7.0 peratus selepas merekodkan penurunan 4.5 peratus pada Mei 2026,” menurutnya. 

DOSM menambah bahawa bilangan pekerja dalam sektor pembuatan meningkat 1.2 peratus tahun ke tahun kepada 2.4 juta pada Jun 2026, terutamanya disokong oleh pertumbuhan dalam makanan, minuman dan tembakau (2.1 peratus) dan subsektor produk E&E (1.6 peratus). 

Dalam pada itu, gaji dan upah yang dibayar dalam sektor pembuatan turut meningkat sebanyak 3.1 peratus (Mei 2026: 2.9 peratus) pada Jun 2026, berjumlah RM8.59 bilion.

Bagi suku ke suku, nilai jualan sektor pembuatan berkembang sebanyak 9.3 peratus kepada RM524.8 bilion pada suku kedua 2026 (S2 2026), berbanding 5.5 peratus yang dicatatkan pada suku pertama 2026.

Gaji dan upah juga meningkat sebanyak3.1 peratus kepada RM25.7 bilion, manakala nilai jualan setiap pekerja turut meningkat sebanyak 8.0 peratus kepada RM216,777.

Menurut DOSM, bagi separuh pertama 2026, jualan kumulatif bagi sektor pembuatan berada pada RM1.03 trillion, iaitu meningkat 7.4 peratus tahun ke tahun (Januari - Jun 2025: 3.7 peratus).

Gaji dan upah yang dibayar meningkat sebanyak 2.7 peratus kepada RM51.6 bilion, manakala nilai jualan setiap pekerja meningkat sebanyak 6.1 peratus kepada RM423,913.

-- BERNAMA