Niaga Hadapan MSM Lonjak Melepasi RM4,750, Disokong Harga Minyak Mentah
Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin
KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih tinggi hari ini, dengan kontrak terdekat melonjak melepasi RM4,750 setan metrik susulan kenaikan harga minyak mentah berikutan konflik yang semakin memuncak di Asia Barat.
Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata permintaan eksport MSM yang kukuh baru-baru ini turut memberikan sokongan kepada sentimen pasaran dalam tempoh terdekat.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata niaga hadapan MSM didagangkan lebih tinggi hari ini berikutan pembelian pada harga rendah yang didorong oleh jurang diskaun yang semakin melebar berbanding minyak gas.
Beliau berkata peningkatan niaga hadapan olein sawit ditapis, diluntur dan dinyahbau (RBD) di Dalian Commodity Exchange turut menyokong harga MSM.
“Selain itu, peningkatan prestasi eksport minyak sawit Malaysia bagi tempoh 1 hingga 10 Ogos turut membantu menyokong harga,” katanya.
Menurut beliau, Intertek Testing Services menganggarkan eksport minyak sawit Malaysia bagi tempoh 1 hingga 10 Ogos 2026 sebanyak 445,466 tan, meningkat 2.62 peratus, manakala AmSpec menganggarkan eksport sebanyak 432,742 tan, meningkat 9.21 peratus berbanding anggaran eksport masing-masing bagi tempoh 1 hingga 10 Julai.
Pada penutup dagangan, kontrak Ogos 2026 dan September 2026 masing-masing meningkat RM17 kepada RM4,562 dan RM4,648 setan metrik, manakala kontrak Oktober 2026 naik RM25 kepada RM4,748 setan metrik.
Kontrak November 2026 meningkat RM30 kepada RM4,820 setan metrik, Disember 2026 menokok RM32 kepada RM4,868 setan metrik dan Januari 2027 menambah RM34 kepada RM4,906 setan metrik.
Jumlah dagangan meningkat kepada 127,603 lot daripada 97,133 lot semalam, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 320,164 kontrak daripada 313,462 kontrak sebelumnya.
Harga MSM fizikal bagi Ogos Selatan tidak berubah pada RM4,560 setan metrik.
-- BERNAMA